Kejohanan Badminton Pupuk Semangat untuk Kekal Sihat

Petaling Jaya, 25 September 2017 – Aksi bertenaga yang dipamerkan oleh Cik Ailispitri Asrul sedari awal permainan bermula berjaya membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai johan kategori belia perseorangan dalam Kejohanan Badminton Terbuka Wanita ISMA Kuala Lumpur yang disertai lebih 70 orang peserta. Kelincahannya menyambut hantaran bulu tangkis dan membuat pukulan padu membawa keberhasilan dengan kemenangannya itu. Ketika ditanya, beliau cukup gembira dapat meluangkan masa menyertai kejohanan ini yang mana bukan sahaja menghilangkan tekanan kerja malah berpeluang berkenalan dengan ramai rakan baru.

Puan Nurul Ezreen Ahmad Azni yang membawa empat pasukan daripada Kelab Cempaka turut berpuas hati setelah kesemua mereka berjaya merangkul gelaran naib juara dan tempat ketiga dalam kategori remaja dan belia beregu. Beliau yang begitu bersemangat sejak mendaftarkan diri sebagai peserta, menzahirkan rasa sukacita dengan penganjuran program ini dan berharap untuk menyertainya lagi di masa akan datang.

Cik Noradlina Zkeri, pengarah program ketika ditemui berkata, “Saya berharap, dengan penganjuran pertandingan ini, para peserta dapat menanam keazaman untuk terus kekal sihat kerana acapkali kedengaran bahawa ramai golongan wanita pada masa kini menghidapi pelbagai penyakit di usia muda.”

Justeru, sebagai langkah awal pencegahan, program yang bertempat di Forum 19 Petaling Jaya ini turut menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma yang ditaja sepenuhnya oleh farmasi Dailycare.

Objektif program ini bukan sekadar untuk menggalakkan wanita mengamalkan gaya hidup sihat, malah bertujuan untuk mendidik cara mengurangkan tekanan perasaan melalui aktiviti sukan dan riadah supaya wanita boleh kekal cerdas dan cergas.

Syazira Hanis Subri
Wartawan Biro Komunikasi dan Multimedia
ISMA Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *