Kekalahan kepada ROP beri pengajaran buat KB Isma Johor sebelum hadapi Liga JBFA 2018

JOHOR BHARU, 31 Disember – Kekalahan kedua dalam aksi persahabatan pra musim Kelab Bolasepak Isma Johor (IJFC) kepada pasukan Republic of Pulai (ROP) memberi pengajaran berguna buat IJFC dalam menyediakan pasukan menghadapi Liga Persatuan Bolasepak Johor Bharu (JBFA) pada penghujung Januari 2018.

Perlawanan bermula dengan ROP mendominasi perlawanan. IJFC cuba bermain dengan corak serangan balas dan memperoleh beberapa peluang keemasan namun gagal disempurnakan oleh barisan penyerang IJFC. Salah satu serangan IJFC hanya tersasar sedikit di sebelah kiri gawang ROP ketika penjaga gawang ROP sudah tertewas.

Satu percubaan jauh melalui sepakan percuma yang dilakukan oleh pemain IJFC, Iqbal tepat ke bahagian kanan atas gawang namun berjaya ditepis oleh penjaga gawamg ROP. Setelah dapat bertahan lama, akhirnya gawang IJFC bocor juga hasil hantaran lintang yang berjaya disudahkan oleh pemain ROP. Separuh masa pertama berkesudahan dengan ROP mendahului 1-0.


Pasukan IJFC melakukan pertukaran di bahagian pertahanan dan tengah. Hasilnya, IJFC berjaya menyeimbangi perlawanan dan melakukan beberapa percubaan ke gawang gol ROP namun tiada gol terhasil. Satu peluang keemasan bagi pasukan IJFC ketika penyerangnya hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gawang namun peluang tersebut gagal dimanfaatkan.

Ketika IJFC dilihat ada peluang untuk menyamakan kedudukan, ROP berjaya mengambil peluang melalui satu set piece sepakan penjuru dengan menjaringkan gol kedua melalui tandukan yang tepat menuju ke gawang gol. Gol ketiga ROP seterusnya membunuh semangat IJFC untuk bangkit. Perlawanan berkesudahan dengan IJFC 0- ROP 3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *