KELEBIHAN AMALAN BULAN ZULHIJJAH

1. Sepuluh hari yang terbaik di awal bulan Zulhijjah.
Rasulullah SAW bersabda daripada Ibn Abbas RA:
“ما من الايام العمل الصالح فيها احب الى الله من هذه الايام العشر قالوا يا رسول الله ولا الجهاد في سبيل الله؟ ولا الجهاد في سبيل الله الا رجل خرج بنفسه وماله ولم يرجع بذلك بشئ”
Maksudnya: Tidaklah ada daripada hari-hari tertentu yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah selain daripada hari yang sepuluh ini. Sahabat bertanya, “walaupun jihad fi sabilillah wahai Rasulullah?” Jawab Nabi, “walaupun jihad fi sabilillah kecuali seorang lelaki yang keluar berjihad dengan diri dan hartanya dan semuanya habis tidak bersisa (termasuk dirinya)

Apakah yang dimaksudkan dengan hari-hari yang sepuluh ini ?

Ulamak menafsirkan bahawa hari yang sepuluh ini ialah tanggal 1 hingga 10 Zulhijjah
Firman Allah SWT dalam Surah al Fajr:
والفجر وليال عشر”
Maksudnya : “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh”
Allah SWT telah bersumpah dengan waktu fajar dengan menggunakan Alif lam ma’rifah bagi kalimah ( الفجر ) iaitu waktu fajar untuk menunjukkan sesuatu yang khusus.
Sebahagian ulama menafsirkan bahawa lebih afdal waktu pagi ini membawa maksud hari raya Aiduladha.
وليال عشر
Maksudnya: “dan demi malam-malam yang sepuluh”

Malam yang sepuluh ada 3 makna:
1. Malam 10 terakhir Ramadan
2. Malam 10 awal Muharram
3. Malam 10 awal Zulhijjah

Allah SWT menyuruh umat Islam mengejar juga keberkatan 10 malam yang berturut-turut di awal bulan Zulhijjah itu dengan mengisinya dengan amalan-amalan soleh yang diredhai dan disukai oleh Allah SWT seperti puasa, tilawah, solat sunat, bersedekah dan lain-lain lagi.

Amalan soleh yang dilakukan pada malam awal bulan Zulhijjah ini mengalahkan 10 malam akhir Ramadan mengikut pendapat sebahagian ulama kerana akhir Ramadan hanya ada satu malam sahaja iaitu malam Lailatul Qadar manakala Allah menyuruh orang beriman mengejar malam 10 awal Zulhijjah dengan memperbanyakkan amal soleh disebabkan ia mempunyai kebaikan-kebaikan yang sangat banyak.

Lailatulqadar kelebihannya ialah ia lebih baik daripada seribu bulan manakala 10 hari awal Zulhijjah lebih baik daripada jihad fisabilillah sepertimana yang telah disebutkan oleh hadis di atas .
والشفع والوتر”
Maksudnya: “dan demi yang genap dan yang ganjil”

Hari yang kelapan iaitu hari tarwiyah, hari di mana jamaah haji masuk ke Mina.

Hari witir adalah hari kesembilan iaitu hari Aradah di mana kemuncak hajidan semua jamaah berkumpul untuk wukuf di Padang Arafah. 

2. Apakah amalan soleh yang disukai oleh Allah SWT.

i. Puasa hari pertama hingga hari Tarwiyyah (hari ke 8)
“عن بعض ازواج النبي صلى الله عليه وسلم كان رسول الله يصوم تسعا من ذي الحجه”
Daripada isteri-isteri Nabi SAW mengatakan bahawa Baginda SAW berpuasa 9 hari dalam bulan Zulhijjah”

ii. Puasa Hari Arafah (hari ke 9)
عن ابي قتادة الانصاري سئل النبي صلى الله عليه و سلم عن صوم يوم عرفه : ان يكفر السنه الماضيه والباقيه 
Daripada Abi Qatadah al-Ansari Nabi SAW telah ditanya tentang puasa pada hari Arafah jawab Baginda ia menghapuskan dosa setahun yang lepas dan yang akan datang .

Yang dimaksudkan dengan ampunan dosa yang dahulu ialah dosa-dosa kecil yang telah lalu manakala maksud ampunan dosa yang akan datang itu ialah dalam masa setahun yang akan datang puasa satu hari pada hari Arafah tersebut dapat mencegah mereka daripada melakukan dosa.

iii. Korban (hari 10, 11, 12 dan 13)
Seterusnya amalan yang dianjurkan sebagai amalan terbaik pada hari yang ke 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah ibadah korban (اراقة الدم -menumpahkn darah )

Terdapat empat syarat orang yang berkorban:
1. Pertama yang mampu ataupun sanggup memenuhi keperluan dirinya sendiri dan keluarga 
2. Kedua orang yang mampu memenuhi keperluan orang lain yang wajib ditanggungnya 
3. Ketiga mampu memberi makan dan minum empat selama empat hari raya iaitu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
4. Keempat mampu membeli haiwan korban.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من اراد ان يضحي فليمسك عن اظفاره واشعاره
Maksudnya : “Barang siapa yang mahu berkorban hendaklah dia menahan dirinya daripada memotong kuku dan rambutnya.”

Orang yang mahu berkorban disunnahkan tidak memotong kuku dan rambut- rambut di badannya bermula daripada 1 Zuhijjah sehinggalah pada hari haiwan tersebut disembelih iaitu pada hari raya Aidil Adha.

Kelebihan berkorban sangat banyak antaranya ialah diampunkan dosa, akan mendapat kebaikan yang banyak, mendapat kenderaan ketika meniti titian Sirat dan lain-lain lagi.

Moga Zulhijjah kita kali ini lebih bermakna dan bermanfaat.

HambaMu yang faqirah:
Ustazah Jamiah Binti Wahab
Wanita ISMA Seremban
31 Julai 2019/28 Zulkaedah 1440

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *