Kem Jatidiri dan Smart Solat STF: Disiplinkan diri dengan solat

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Keazaman yang tinggi untuk mendisiplinkan diri dalam ibadat solat perlu ditekankan kerana solat yang sempurna dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang bercanggah dengan agama.

Demikian seruan pengerusi Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Johor, En. Noranizan Abu kepada 146 orang pelajar tingkatan empat Sekolah Tun Fatimah dalam majlis  penutup Kem Jati Diri dan Smart Solat di sini, baru-baru ini.

“Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut ayat 45 berbunyi: ‘Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar’.

“Justeru itu, sebagai seorang Muslim, kualiti solat perlu sentiasa ditingkatkan dalam usaha membina jati diri serta kecemerlangan akhlak dan sahsiah,” jelas beliau.

Ujar beliau lagi, remaja perlu mengaplikasikan rumus asas matematik untuk mengatur perjalanan kehidupan mereka menjadi remaja Muslim yang tinggi wawasan dan kukuh jati diri.

“Kehidupan berkisar pada formula matematik- tambah, tolak, darab dan bahagi. Bahagikan masa mengikut keutamaan dan tanggungjawab diri, tambah ilmu dan gandakan amal serta tolak atau kurangkan sikap negatif yang menjejaskan prestasi diri,” katanya.

Majlis perasmian penutup Kem Jati Diri dan Smart Solat ini dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Tun Fatimah, Puan Hajah Kamsiah Aziz.

Puan Kamsiah dalam ucapan perasmiannya turut mengingatkan para pelajar bahawa program Kem Jati Diri dan Smart Solat anjuran Unit Kaunseling Sekolah Tun Fatimah dengan kerjasama KRIM Cawangan Johor ini merupakan usaha berterusan pihak sekolah bagi melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan sahsiah diri.

Sekolah Tun Fatimah merupakan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang mengungguli senarai Sekolah Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013. –KRIM

Siti Nurliyana Saifollah
Wartawan ISMA Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *