Kemalangan Udara – usaha manusia dan takdir Allah

plane

Pada 4 April 2015 jam 4.55 petang, negara kita dikejutkan lagi dengan satu nahas helikopter jenis Airbus AS365NS Dauphin di Semenyih yang mengorbankan 6 orang penumpang termasuk juruterbangnya. Seorang saksi yang melihat kejadian melaporkan helikopter terbabit meletup di udara sebelum terhempas. Namun, kita menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menyiasat punca nahas kejadian itu. Kita doakan semoga Allah merahmati ruh para penumpang yang beragama Islam dalam helikopter terbabit.

Sejak kebelakangan ini, semakin kerap berlaku kemalangan udara sama ada di dalam atau di luar negara. Pada tahun ini juga iaitu pada 15 Mac lepas, dua buah pesawat Jupiter Aerobatic Team, Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena LIMA ’15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Begitu juga pada 24 Mac lepas, pesawat penumpang bernombor 9525 milik GermanWings terhempas di pergunungan Alps, Perancis mengakibatkan 150 orang terbunuh. Berdasarkan kepada bukti yang diperoleh dari data kotak hitam yang kedua, nahas berpunca daripada masalah tekanan jiwa yang dialami oleh pembantu juruterbang yang mengunci pintu kokpit pesawat serta tindakannya yang menambah kelajuan pesawat semasa menurun ke altitud yang lebih rendah.

Siasatan lebih lanjut masih diteruskan. Tambahan lagi, baru-baru ini pada 29 Mac 2015, dua buah pesawat penumpang milik Etihad Airways dan Emirates Airways hampir berlanggar antara satu sama lain di ruang udara Lautan Hindi. Siasatan masih dijalankan oleh syarikat penerbangan berkenaan untuk mengenal pasti punca kejadian yang berlaku.

Berdasarkan kepada penyiasatan kes kemalangan udara yang berlaku antara tahun 2009-2013, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang utama kemalangan udara, antaranya ialah pengurusan keselamatan, faktor cuaca, sistem pesawat tidak berfungsi dengan baik dan kesalahan krew pesawat. IATA(International Air Transport Association) adalah sebuah badan berkanun dunia yang mengawal selia sistem pengangkutan udara di seluruh dunia.

Keselamatan penerbangan udara akan sentiasa diperhatikan dan dipertingkatkan oleh IATA berdasarkan kes-kes yang berlaku di seluruh dunia.. Beberapa kejadian nahas seperti yang dinyatakan di atas sedikit sebanyak mengundang kerisauan di kalangan masyarakat untuk terus menggunakan pengangkutan udara. Jika dibandingkan dengan kemalangan pengangkutan darat, penerbangan udara adalah jauh lebih selamat jika dibandingkan dengan pengangkutan darat.

Namun, risiko pengangkutan udara yang dihadapi adalah lebih besar jika dibandingkan dengan maklumat fakta semata-mata. Merujuk kepada seorang pensyarah komunikasi risiko di Fakulti Kesihatan Awam, Universiti Harvard, iaitu David Ropeik, beliau menyatakan memandu dengan kenderaan awam adalah lebih kepada kawalan individu yang menyebabkan kita akan rasa lebih selamat.

Namun, nahas udara adalah bencana yang menyebabkan ramai orang terbunuh pada satu-satu masa yang mendapat perhatian yang sangat cepat dan sensitif. Kemalangan jalan raya berlaku setiap hari dan hilang ditelan masa menyebabkan kesannya kurang dirasai.

Dalam setiap perkara memang akan ada risiko, apatah lagi dalam kehidupan dunia ini. Cuma , bagaimana risiko tersebut dikurangkan atau dihalang daripada berlaku dan bagaimana kita yang dilantik sebagai khalifah menanganinya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, ayat 30:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”……..

Justeru, sebagai manusia kita perlu sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan kemalangan-kemalangan seperti ini berulang, namun dalam masa yang sama kita perlu menerima takdir Allah swt setelah semua usaha terbaik kita lakukan. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita serahkan segalanya kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Mohammad Muzzammil Bin Bazal Ahmad
Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia,
Cawangan Melaka                                                                                                                                       Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia