Kemaruk Dunia Materialistik

Melihat senario masyarakat yang suka berebut sesuatu sehingga menimbulkan suasana kecoh menampakkan bahawa minda masyarakat kita terlalu mementingkan kebendaan. Tidak kiralah kebendaan dari segi bantuan percuma, jualan murah, tentang subsidi dan GST, dan lain-lain antara bentuk penjajahan minda materialistik.

Tujuan artikel ini adalah dihasilkan bukan untuk bercerita tentang si pemberi, tetapi kita sebagai penerima.

Baru-baru ini, kita tergamam melihat kesan atau ‘aftermath’ satu pusat pasaraya di selatan tanah air selepas diserbu oleh orang ramai untuk dibelanja oleh seorang Tunku Mahkota. Pasaraya berkenaan terpaksa ditutup bagi tujuan pembersihan. Ini kerana terdapat pelanggan yang tidak bertanggungjawab meninggalkan troli mereka yang penuh sendat dengan barang-barang yang tidak sempat dibayar.

Gambar menunjukkan makanan sejuk beku seperti ais krim dibiarkan cair di dalam troli sehingga mengotorkan lantai. Rata-rata masyarakat mengkritik situasi itu walaupun hakikatnya bermula dengan niat yang baik. Namun, kerana RM3000 adab dan akhlak kita hilang. Minda kita rakus mengejar kebendaan. Tidak salah untuk rasa teruja apabila dibelanja, tetapi perlukah sampai berebut-rebut dan mendatangkan kerosakan yang lebih besar? Melihatkan video dan gambar kesan akibat membuatkan kebanyakan kita menggeleng kepala.

 

Belum lagi reda peristiwa itu, satu lagi kejadian rebut merebut sehingga mendatangkan kecederaan berlaku. Kali ini rakyat diuji dengan kad bantuan yang diumum kerajaan untuk menyenangkan pemandu-pemandu teksi. Keadaan di tempat kejadian tidak terkawal apabila beribu pemandu teksi hadir berasak untuk mendapatkan kad bantuan tersebut. Beginilah apabila kita membiarkan diri terdedah dengan polemik kesusahan hidup akibat kesempitan wang.

Saban hari kita dihidangkan dengan isu kenaikan harga barang, isu GST oleh ahli politik, kesukaran mendapat pekerjaan, pentingnya berniaga menjana pendapatan tambahan, menyebabkan minda kita terdidik untuk rasa terdesak dengan situasi hidup zaman sekarang. Jadinya, terbentuk satu mentaliti bahawa sebarang bentuk bantuan adalah sesuatu keperluan yang sangat mendesak dan wajib diperolehi oleh setiap orang. 

gambar dari: berita harian

Kita imbas kembali pada tahun 2016, ketika festival raya di PWTC. Sedih apabila kita melihat orang Islam lelaki dan perempuan berasak-asak dan berhimpit demi kerana ‘hujan duit’ satu ringgit. Itulah dia apabila duit di’raja’kan dan manusia secara tidak sedar diperhambakan olehnya.

Tidak cukup dengan duit, tidak kalah aksi himpit menghimpit lelaki dan perempuan dari mereka yang fanatikkan tudung untuk mendapatkan fesyen terbaru. Ya, hanya tudung ada, yang hilang sifat malu asalkan dapat apa yang digilakan.

Pengusaha-pengusaha butik pula ghairah dan tidak malu mewarwarkan perkara tersebut. Salah satu dari ‘strategi’ pemasaran katanya. Dikhabarkan juga, selepas peristiwa produk terkenal elektronik dan komunikasi, kedai produk label fesyen juga menjadi mangsa rempuhan di satu cawangannya di Kinabalu. Kita boleh dengar kekecohan dari suara pembeli wanita menjerit-jerit dan adegan rampas merampas dari video yang tular. Semua kerana jualan murah punya pasal.

gambar dari: youtube

Sebenarnya, itulah hakikat kita hidup di dunia serba materialistik. Kita telah menerima cara hidup kapitalis yang mana wang dan kebendaan adalah segala-galanya. Sedih dan terkilan. Lagi dua tahun mengejar status negara maju masyarakat kita masih belum pandai beradab dan beratur. Sama ada situasi itu telah dirancang dengan baik penganjur, atau pun secara spontan.

Mengambil contoh akhlak dari negara maju Jepun. Negaranya bukan sahaja terkenal dengan pengurusan yang sistematik, malah rakyatnya juga boleh dikatakan terbaik dalam beradab dan beratur. Di Jepun, ada juga karnival membeli belah yang menawarkan diskaun menggila dan festival ‘fukubukuro’ atau ‘lucky bag’ yang berbaloi-baloi dari ‘brand’ yang berjenama pada setiap tahun barunya. Tetapi tiada kes pintu kedai dipecah, orang berebut-rebut, memotong barisan atau bertarik-tarik. Hatta ketika saat genting dilanda bencana tsunami dan gempa bumi pun mereka dengan penuh etika, sabar beratur menunggu giliran masing-masing di kedai atau pasaraya walhal keadaan sangat kritikal kerana barangan sangat terhad.

gambar dari: vosizneias

Kurang menghargai

Sebenarnya, masyarakat kita belum terdidik untuk menghargai sesuatu walau untuk perkara yang kecil. Apabila berkenaan dengan benda-benda percuma kita akan lebih kurang menghargai dan tidak cermat. Pernah tular satu ketika tentang akhlak pelanggan ‘mencuri’ paket gula, krimer kopi dan kayu pengacau kopi yang disediakan percuma oleh satu pasaraya. Sedangkan sepatutnya kita sedar dan bertimbang rasa bahawa kemudahan yang disediakan bukan untuk kita seorang, tetapi untuk dikongsi.

Lihat sahaja kemudahan awam yang kerajaan sediakan tidak dihargai oleh rakyat. Tak terkira banyaknya taman permainan menjadi mangsa vandalisme, lampu-lampu taman dipecahkan, tandas-tandas awam tidak dijaga dengan baik, dan banyak lagi yang boleh disenaraikan. Kurang sivik antara punca berlakunya masalah ini.

gambar dari: utusan

Untuk skop yang lebih besar, statistik menunjukkan penggunaan air tertinggi adalah pada penduduk negeri yang mempunyai tarif air rendah seperti di Pulau Pinang dan Selangor. Ini menunjukkan penetapan harga air pada harga yang rendah atau percuma hanya menggalakkan pembaziran kerana masyarakat tidak pandai untuk berjimat. Kita kurang menghargai sesuatu yang mudah kita perolehi.

Solusi

Contoh-contoh di atas bukan untuk mengkritik atau membuka pekung di dada. Situasi di atas memperlihatkan bahawa betapa tenatnya mentaliti masyarakat kita. Cetusan ini terpanggil untuk menyeru masyarakat yang membaca artikel ini agar menjaga diri dari terjebak kepada perilaku yang tidak berakhlak. Andai sukar untuk menyeru orang lain, bertindaklah untuk diri sendiri dengan menimbang tara sesuatu mana yang baik dan mana yang buruk. Jika orang lain tidak mengikut peraturan, jangan pula kita yang melanggarnya. Bukankah kita diajar sejak kecil untuk punya akhlak dan adab?

Ubah minda agar tidak terikat dengan sikap kebendaan. Benar, kita memerlukan duit untuk hidup. Tetapi kita perlu set minda bahawa duit dan kebendaan perlu pada sekadarnya. Kita boleh mengikis sikap tamak dalam diri dengan melihat orang lain kurang kemampuan dari kita. Bantuan-bantuan yang diterima perlu dilihat dari perspektif yang tidak tamak. Jika ada rezeki untuk kita, tetaplah kita akan mendapatkannya. Tidak perlu berebut-rebut. Tatkala orang lain mencari kekayaan, orang Mukmin itu mencari kecukupan.

“Barangsiapa yang kehidupan akhirat menjadi tujuan utamanya, niscaya Allah akan meletakkan rasa cukup di dalam hatinya dan menghimpun semua urusan untuknya serta datanglah dunia kepadanya dengan hina. Tapi barangsiapa yang kehidupan dunia menjadi tujuan utamanya, niscaya Allah meletakkan kefakiran di hadapan kedua matanya dan mencerai-beraikan urusannya dan dunia tidak bakal datang kepadanya, kecuali sekadar yang telah ditetapkan untuknya.” – HR Ibnu Majah (no. 4105), Ahmad (5/183), ad-Daarimi (no. 229).

Kembali semula kepada al-Quran. Sebagai orang Islam, kita seharusnya menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam rangkaian kehidupan. Di dalamnya banyak menyentuh tentang adab dan tuntutan untuk berakhlak mulia. Baik terhadap sesama manusia, atau terhadap Allah swt.

Jika kita menghayati tentang hal luruskan saf dan tertib sewaktu solat, sudah tentu kita mampu untuk tertib mengendalikan hal-hal dunia.

 

Dr. Nashrah Hani Jamadon

Aktivis Isma Hulu Langat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *