Kembali kepada fitrah kesatuan dan perdamaian

Hj Tahir 5

KEMBALI KEPADA FITRAH KESATUAN DAN PERDAMAIAN

Menjelang Eid Mubarak yang akan tiba ini marilah kita bermuhasabah dengan keadaan yang menimpa umat Islam khususnya di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Ketika ini umat Islam sedang menghadapi serangan dari segenap penjuru samada dari dalam dan luar. Krisis demi krisis sedang menimpa umat ini. Krisis kepercayaan dalam isu 1MDB, kelemahan penguatkuasaan yang membawa kepada api perkauman di Plaza Low Yatt, pengaruh asing dalam TPPA dan serangan bertali arus dari Evanglist kepada umat Islam.

Hari demi hari isu-isu yang menimpa umat Islam semakin meruncing dan dalam masa yang sama perpecahan umat Islam semakin kritikal. Perpecahan umat Islam yang bermula dengan perpecahan antara UMNO dan PAS sebelum merdeka semakin merebak dan tidak terkawal.

Parti tunggak bangsa Melayu dan Islam (UMNO) telah berpecah dengan tertubuhnya parti Negara, Semangat 46 dan PKR. Perpecahan dalaman PAS pula telah mengakibatkan tertubuhnya parti BERJASA, HAMIM dan yang terkini perpecahan dalam perebutan kuasa kepimpinan telah menjurus kepada tertubuhnya parti baru.

Kesemua situasi yang menimpa umat Islam di negara ini menuntut kita kembali kepada fitrah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah saudara kamu yang berselisih dan bertqwalah kepada Allah SWT agar kamu mendapat rahmat”.

Fitrah persaudaraan dan mendamaikan saudara yang berselisih adalah ajaran Islam yang sangat dituntut supaya umat Islam di negara ini mendapat rahmah Allah SWT.

Bersempena Aidilfitri yang mulia ini saya bagi pihak ISMA Johor Bahru menyeru kepada semua umat Islam supaya kembali kepada fitrah kesatuan dan perdamaian dikalangan umat Islam, bukannya mengutamakan kesatuan dan perdamaian dikalangan orang kafir, agar negara ini mendapat rahmah daripada Allah SWT.

‘Taqabbalallahu minna waminkum

Hj Mohd Tahir Hamdan
Yang Dipertua ISMA Johor Bahru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *