Kembalikan hak wanita untuk melakukan yang terbaik kepada keluarga

photo_2015-12-15_13-18-27

Mengintai tahun 2016 yang bakal dilalui, menyoroti pelbagai isu sepanjang 2015; isu ekonomi yang semakin menekan, statistik penceraian yang terus meningkat,  kes penderaan anak-anak yang tiada berpenghujung, masalah sosial remaja seperti buli, vape serta rokok, zina dan dadah yang semakin kronik. Pastinya memberi gambaran, masa-masa mendatang bukanlah satu laluan yang mudah.

Bagi seorang wanita bekerjaya seperti saya, meletakkan titik keseimbangan dalam memainkan pelbagai peranan yang digalas oleh wanita kekal menjadi satu cabaran besar. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan pencapaian cemerlang wanita dalam akademik telah mewujudkan satu realiti; wanita dan kerjaya tidak dapat dipisahkan. Namun, pastinya setiap wanita mempunyai aspirasi mahu memberi yang terbaik kepada keluarga dan anak-anak mereka. Hakikatnya, kemenjadian anak-anak bukan sekadar pada pembesaran fizikal, malah lebih penting adalah kestabilan emosi, mental dan akhlak peribadi.

Di satu ufuk, ada wanita yang perlu memilih untuk menangguhkan kehamilan, perkahwinan, atau terpaksa menyerahkan sebahagian besar urusan anak-anak kepada pengasuh atau pembantu rumah demi memenuhi tuntutan kerjayanya.  Tidak kurang juga terdapat wanita berpelajaran yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk memberi fokus kepada keluarga dan anak-anak. Satu kebimbangan yang mungkin berlaku, wanita akan terus terhimpit antara dua pilihan ini lantaran sistem sokongan yang kurang peka kepada keperluan wanita bekerjaya yang memerlukan kepada satu suasana yang lebih kondusif agar seorang wanita itu dapat menunaikan tanggungjawabnya secara adil kepada semua pihak.

Tidak dinafikan bahawa sumbangan wanita diperlukan untuk membangunkan negara tercinta ini. Namun satu hakikat yang jauh lebih penting, peranan wanita dalam membangunkan institusi kekeluargaan juga sangat penting dan berharga. Kenyataan ini tidak menafikan peranan seorang lelaki sebagai ketua keluarga. Namun, sentuhan seorang wanita sebagai seorang Ibu kepada kemenjadian anak-anaknya tidak dapat diganti oleh pembantu rumah mahupun pengasuh dan guru pusat asuhan.

Hak wanita untuk meraikan fitrahnya yang dijadikan dengan kualiti terbaik sebagai seorang pendidik kepada anak-anak yang dikandung dan dilahirkannya juga perlu menjadi fokus pejuang hak wanita. Masa berkualiti bersama keluarga adalah hak yang sepatutnya diberikan kepada wanita bekerjaya. Apakah erti sebuah kejayaan apabila mengorbankan kebahagiaan yang sebenar?

Wanita bekerjaya juga perlu diberi sokongan yang sepenuhnya, agar kesibukan mencari rezeki dan menyumbang kepada negara tidak sama sekali menafikan hak dan tanggungjawab mereka untuk menjadi ibu yang terbaik kepada anak-anak.  Ketahuilah, anak-anak ini bukan sekadar aset kepada keluarga, malah generasi muda ini adalah masa hadapan bagi sebuah negara. Institusi kekeluargaan pula bukan sekadar isu peribadi, ia adalah binaan asas kepada pembinaan sebuah ummah. Sekiranya anak-anak membesar tanpa kasih sayang, perhatian dan bimbingan ibu dan ayah, kesan buruknya bukan sekadar ditanggung keluarga tersebut, malah akhirnya menjadi beban kepada negara.

Sewaktu saya bekerja sebagai doktor pelatih di Australia, doktor pelatih wanita diberi pilihan untuk bekerja secara sambilan dengan jam maksima bekerja dalam seminggu dikurangkan. Implikasinya, tempoh setahun sebagai doktor pelatih dilanjutkan kepada dua tahun untuk mereka yang memilih pilihan ini. Walaupun gaji agak kecil berbanding pekerja sepenuh masa dan tempoh sebagai doktor pelatih dilanjutkan, namun mereka dapat bekerja dengan gembira dan tenang kerana kebajikan anak-anak terpelihara. Dan negara mereka tidak kehilangan mereka yang berkepakaran serta berkemahiran kerana adanya sistem yang lebih fleksibel ini.

Mungkin perkara ini masih jauh untuk diaplikasikan di Malaysia. Namun saya berharap suatu hari nanti wanita di Malaysia juga diberi kebebasan untuk menentukan masa mereka di tempat kerja dan di rumah. Semua pihak, sama ada kerajaan, majikan dan masyarakat harus sentiasa peka akan keutamaan seorang wanita dalam mencadangkan polisi-polisi mahupun seruan-seruan yang akan dikeluarkan. Kiranya wanita juga perlu melakukan dua kerja untuk menambah pendapatan, siapakah yang akan mengambil alih peranan mereka untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan?.

Mewujudkan waktu kerja anjal, memastikan masa berkualiti pekerja bersama keluarga tidak diganggu dengan perbincangan urusan kerja di aplikasi Whatsapp dan Telegram, memastikan pihak syarikat menyediakan pusat asuhan anak-anak di tempat kerja, mewujudkan suasana tempat kerja yang lebih mesra penyusuan (menyediakan peti sejuk dan bilik mengepam susu), menyediakan kursus asas penjagaan bayi serta anak-anak kepada para pengasuh tempatan dan asing adalah antara langkah jangka masa pendek yang boleh diperkasakan oleh pihak berwajib.

Dan kepada para wanita bekerjaya, lengkapkanlah diri kita dengan ilmu fiqh wanita bekerjaya. Supaya, usaha murni kita bekerja untuk kebaikan keluarga, tidak bertukar menjadi punca masalah kepada keluarga. Memahami keutamaan dan menguasai kemahiran yang penting seperti pengurusan masa, kewangan dan emosi adalah langkah bijak seroang wanita bagi memastikan kesibukan kerjaya tidak akan mengorbankan keluarga tercinta. Seimbang, tidak bermakna anda membahagikan semua perkara sama rata, seimbang adalah apabila kita berjaya meletakkan sesuatu pada kadar yang sepatutnya.

Tahun 2016, semoga wanita seluruh Malaysia dapat melangkah dengan lebih yakin dan tabah serta lebih memahami keutamaan matlamat kejadian mereka di atas muka bumi ini.

 

Cetusan,

Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim

Naib Ketua Wanita

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kuantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *