Kenali pihak musuh untuk tegakkan kembali Islam – Ustaz Rushdan Abdul Halim

Oleh Hazwani Liana Abbas

KUANTAN, 14 Feb. – Ancaman yang dihadapi di Malaysia ketika ini memberi hikmah yang sangat besar untuk dipelajari dan umat Islam perlu mengambil langkah serta mengenali pihak musuh untuk menegakkan semula Islam yang  telah tertegak lebih 1300 tahun yang lalu di negara ini.

Pengerusi Kluster Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Rushdan Abdul Halim berkata, Islam itu sendiri hakikatnya mudah untuk ditegakkan dan dibangkitkan semula kerana adanya para pejuang, prinsip dan juga aset.

“Kerana umat yang teramai di negara ini juga adalah umat Islam dan manhaj yang terlengkap itu sendiri adalah manhaj Islam.

“Sekarang kita perhatikan kuasa dunia tidak berada dalam tangan orang Islam dan punca besarnya adalah kerana kita terlalu percaya pada kekuasaan orang kafir.

“Contohnya di Malaysia, kuasa di tanah air kita sekarang bukan berada di dalam tangan umat Islam walaupun bilangan pemimpin yang namanya Islam itu ramai disebabkan mereka telah dipengaruhi oleh orang-orang bukan Islam,” jelas Ustaz Rushdan ketika memberikan ucapan perasmian di Mesyuarat Agung Tahunan 2019 Isma cawangan Kuantan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini baru-baru ini.

Katanya, penyelesaian bagi permasalahan ini ada pada umat Islam itu sendiri dan Isma sebagai sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana akan terus berjuang untuk mengembalikan semula kegemilangan tamadun Melayu serta Islam ditanah air tercinta ini.

Menurut beliau lagi, yang menutur Bahasa Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia, yang sebelum ini dikenali di seluruh dunia.

“Kita dapat lihat, pihak Barat nampak ia adalah sebagai ancaman dan merancang untuk menghancurkannya sehingga bersilih ganti umat Melayu dan Islam di negara ini dipecah-pecahkan.

“Jawapan kepada persoalan mengapa Melayu disebut dan diperjuangkan adalah supaya mereka sedar yang perpecahan pada hari ini adalah hakikat yang terjadi sekarang dan orang Melayu perlu berpakat semula untuk melawan arus cabaran serta ancaman pihak musuh,” ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau, orang Melayu dan Islam diseru untuk yakin dan menyokong perjuangan ini kerana jika komposisi umat tidak kuat, ia akan sukar untuk digerakkan bagi melawan arus dan cabaran dari pihak musuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *