Kenyataan iGuru Berkenaan Sambutan Hari Guru Yang Keterlaluan

Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) berasa teruja dengan sambutan hari guru yang diadakan di sekolah-sekolah. Sambutan Hari Guru adalah platform untuk kita menghargai dan menyanjung tinggi peranan dan jasa guru dalam mendidik para pelajar menjadi insan yang berguna.

Sememangnya jasa dan sumbangan para guru dalam arena pendidikan cukup besar dan punyai kepentingan tersendiri dalam membentuk acuan negara dan bangsa pada masa akan datang. Pernah pujangga bermadah “akar pendidikan itu pahit tapi hasilnya adalah manis.”

Justeru, meraikan guru pada hari yang bertuah ini amat-amat dialukan sebagai simbolik kita menghargai jasa dan khidmat bakti mereka, meskipun sewajarnya setiap hari kita perlu meraikannya kerana mereka adalah ibubapa kedua selepas ayah dan ibu di rumah.

Namun amat malang jika majlis sambutan hari guru yang telah diadakan di sekolah-sekolah dipenuhi unsur- unsur keterlaluan, hiburan melampau, nyanyian bingit yang menghilangkan falsafah keguruan dan kependidikan.

Perbuatan tari-menari, budaya hedonistik hendaklah dielakkan. iGuru berasa kesal dengan kejadian seumpama ini dan berharap pihak pentadbir sekolah memantau setiap aktiviti yang dijalankan agar tidak berulang lagi khususnya dalam membina jatidiri para pelajar.

Di samping itu, pihak ibubapa melalui PIBG perlu bekerjasama dengan pihak sekolah supaya memastikan proses pendidikan anak-anak dapat dibentuk dengan sempurna. Menuding jari kepada pihak lain memang mudah dibandingkan memberikan sarana ibubapa dalam melestarikan akhlak dan pembentukan nilai budi para pelajar.

iGuru berharap agar sambutan hari guru diraikan dengan semangat untuk mendidik dan membentuk perilaku pelajar. Elakkan aktiviti yang membawa kepada kerosakan dan ketempangan nilai dan budi.

Hargailah guru dalam setiap masa dan ketika, tanpa terhenti pada sehari sahaja kerana jasa guru itu seluas lautan, setinggi gunung tidak terbalas budi dan pekertinya, menjadi jariah sepanjang zaman.

Ahmad Syauqi, penyair Arab pernah berkata:

“Bangun dan berilah penghormatan pada seorang guru,
Kerana guru itu memikul tugas Rasul…”

 

 

 

 

 

Mohd Azizee bin Hasan
Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia ( iGuru).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *