Kenyataan Rasmi I-Medik Isu Kematian Doktor Selepas on call

Fraterniti perubatan sekali lagi dikejutkan dengan berita yang menyedihkan dengan kematian seorang doktor perubatan akibat kemalangan dalam perjalanan pulang setelah tamat bertugas atas panggilan (on -call).

I-Medik mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Nurul Huda Ahmad yang sedang melanjutkan pengajiannya di tahun 3 bidang Paediatrik di Universiti Sains Malaysia, yang meninggalkan suami dan 3 orang anak yang masih kecil akibat terlibat dalam kemalangan pada 9 Mei di Kuala Trengganu dalam perjalanan pulang dari bertugas selama hampir 33 jam.

Ini mengingatkan kita kepada kes kemalangan maut melibatkan Dr Afifah Mohd Ghazi, seorang pakar bius yang meninggal dunia akibat kemalangan hanya 3 km dari Hospital Sungai Buloh tempat beliau bertugas, pada 9 Julai 2015, dalam perjalanan pulang setelah bertugas atas panggilan selama 32 jam. Ibu muda ini meninggalkan seorang anak yang masih kecil.

I-Medik juga turut mendapat berbagai laporan kes kemalangan yang  melibatkan petugas kesihatan pulang keletihan dari tugas yang panjang, yang menyebabkan berbagai kecederaan.

I-Medik menyedari peri penting latihan klinikal yang cukup kepada setiap doktor. Tanpa menjejaskan aspek latihan menyeluruh bagi setiap petugas kesihatan demi membekalkan perkhidmatan kesihatan yang bermutu tinggi, I-Medik ingin mencadangkan:

➡️ Membenarkan petugas perubatan atas panggilan mendapat cuti sepenuhnya  (post-call off) selepas on call dan pada masa yang sama layak mendapat elaun bertugas atas panggilan.

➡️ Oleh kerana kemampuan untuk memberi post call off ini hanya boleh dilaksanakan jika jumlah pegawai perubatan di suatu jabatan itu pada angka yang munasabah,  justeru itu langkah memberi insentif atau galakan seperti elaun khas  kepada pegawai perubatan yang memilih jabatan klinikal dengan jadual on call yang padat adalah suatu yang amat diharapkan

➡️ Membenarkan tuntutan perjalanan menggunakan khidmat teksi/Uber/Grabcar setelah tamat tugas atas panggilan.

Dalam pada itu, I-Medik menggesa setiap petugas kesihatan, turut mengutamakan kesihatan diri masing-masing kerana Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan).

Sabda Nabi  SAW yang bermaksud “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman). “ (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Oleh kerana itu, setiap kita mesti turut menyedari keupayaan fisiologi diri setelah mengharungi satu jangka waktu yang lama bekerja, dengan menghayati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

I-Medik dengan itu menyarankan agar petugas kesihatan yang menjalani tugas atas panggilan mengambil inisiatif2 seperti berikut:

1. Menggunakan sepenuhnya kemudahan rehat untuk doktor atas panggilan seperti bilik MO bagi mendapatkan rehat.

2. Mengamalkan tidur sebentar  (napping) sebelum memulakan perjalanan pulang, dan semasa dalam perjalanan. Kajian membuktikan tidur di antara 15-20 minit  di tempat rehat dan rawat dapat mengurangkan kadar kemalangan.

3. Menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti teksi/Uber/Grabcar setelah tamat tugasan.

4. Memohon bantuan keluarga atau rakan mengambil pulang jika keletihan

Ingatlah keluarga tersayang yang menanti kepulangan kita dengan selamat.

Prof Dr Azmi Mohd Nor

Presiden

I-Medik

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *