Kenyataan rasmi Isma berhubung siaran portal FMT dalam isu iklan Shell

Isma memandang serius dua artikel yang dikeluarkan oleh portal liberal Free Malaysia Today (FMT) hari ini yang bertajuk “Shell dan Shafila pun salah, kata Isma” dan “Muslim group says Shell ad to blame for exploiting women” berkaitan pandangan Presiden Isma mengenai iklan kadbod Shell yang memaparkan imej seorang gadis yang menjadi viral baru-baru ini.

FMT telah mengeluarkan tajuk yang berniat jahat dengan menggambarkan Isma sebagai sebuah pertubuhan yang mempunyai pemikiran yang ekstrem sedangkan Isma sentiasa meletakkan Islam yang indah dan adil sebagai agenda dan memikul tanggungjawab dakwah dengan amanah.

Artikel yang disiarkan dengan tajuk-tajuk di atas itu merupakan satu provokasi untuk memancing kebencian dan kemarahan orang ramai terhadap Isma dan meraih populariti bagi FMT. FMT juga dilihat cuba melaga-lagakan antara Isma dan pihak Shell. Ini jelas bertentangan dengan etika kewartawanan yang sebenar kerana berita yang disiarkan tidak bertepatan dengan apa yang telah diperkatakan. Perkara ini telah berulangkali berlaku dan kami rasa biarlah kali ini menjadi yang terakhir.

Presiden Isma sebenarnya menekankan isu eksploitasi wanita yang semakin menjadi-jadi di dalam industri pengiklanan sekarang. Wanita dipaparkan sebagai objek pelaris produk merupakan perbuatan mengeskploitasi yang menyimpang daripada nilai kesucian wanita dalam Islam.

Peristiwa yang berlaku ekoran daripada kadbod iklan gadis itu di mana beberapa orang lelaki melakukan perbuatan lucah terhadap iklan poster gadis itu adalah contoh bagaimana masyarakat yang kurang iman dan rendah moral pada hari ini mudah terangsang dengan iklan imej wanita. Malah, wanita bertudung pun dijadikan sasaran perlakuan lucah mereka. Ini sewajarnya menjadi tanda amaran bagi kita semua bahawa masyarakat sudah agak rosak nilai agama dan moral.

Masyarakat Islam yang beriman dan bermaruah akan mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap kemuliaan dan maruah wanita dan tidak akan sekali-kali membenarkan isteri atau anaknya dijadikan objek pelaris iklan lalu terdedah kepada gangguan-gangguan kurang bermoral dan lucah seperti ini.

Isma ingin memuji tindakan Shell menarik balik iklan kadbod itu. Ia menunjukkan Shell sebagai sebuah syarikat yang proaktif dan prihatin akan apa yang berlaku di sekelilingnya. Isma ingin menggesa syarikat lain yang memaparkan imej wanita sebagai bahan pelaris produk dalam iklan terutamanya yang tidak menutup aurat dan berpakaian seksi agar mencontohi tindakan Shell dan berbuat perkara yang sama juga.

Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni

Naib Presiden

Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *