Kepentingan menjaga kebersihan gigi

Oleh: Noor Suhidayah Mohd Nor

KOTA BHARU, 10 Mei – “Sekarang, hampir semua benda orang nak cepat dan ambil mudah. Sehinggakan, sakit yang pada mulanya tidak teruk menjadi parah dan kronik barulah tergesa-gesa mahu berjumpa doktor,” kata Dr. Nurhidayati Mokhtar, Doktor Pakar Pergigigan HUSM, merangkap Naib Setiausaha Biro Keluarga dan Masyarakat semasa ucapan Usrah Wanita yang diadakan baru-baru ini. 

Pada kesempatan tersebut, Dr. Nurhidayati menasihati para muslimah supaya menjaga diri dalam setiap aspek, termasuklah menjaga gigi dengan betul. Beliau juga mengingatkan bahayanya kesan pengambilan makanan yang tidak seimbang dan mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Kesan daripada makanan atau minuman segera seperti air minuman dalam tin, gula-gula, dan sebagainya boleh melemahkan sistem pertahanan gigi sehingga terkumpulnya plak dan menyebabkan karies. Masalah ini boleh menjadi teruk sekiranya berterusan tanpa rawatan dan pencegahan yang baik.

Tegas beliau, pencegahan itu lebih baik dari merawat. Plak perlu dikawal dan pengambilan gula perlu dikurangkan. Ini penting kerana kuman sudah mula berada pada gigi sejak gigi mula wujud lagi. Beliau juga menasihati para muslimah supaya melakukan pemeriksaan sendiri di rumah dan juga pemeriksaan berkala di klinik.

Plak boleh dikawal dengan cara memberus gigi dengan betul seperti memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, mengamalkan flos gigi selepas makan dan menggunakan ubat gigi berflorida dan berus gigi yang lembut.

“Gigi adalah anugerah Allah, sama seperti anggota-anggota badan yang lain. Sebagaimana anggota-anggota badan yang lain mempunyai fungsi mereka yang penting, begitulah juga gigi. Mengapa sesetengah daripada kita masih mengabaikannya. Hargailah gigi sama seperti organ yang lain.

“Jagalah kebersihan gigi kerana kita tahu kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Didiklah anak-anak tentang penjagaan gigi sejak mereka kecil. Ini kerana, gigi yang cantik dan bersih mencerminkan imej kita,” ujarnya sebagai penutup bicara.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *