Kepimpinan: Ibrah Si Penggembala Kambing

Tulisan ini hanyalah pendapat peribadi sepanjang mengutip pengalaman daripada menggembala kambing ini. Ia bukan merupakan fakta yang jitu tetapi dipetik daripada pengalaman yang lalu.

Rasulullah sallallahualaihiwasallam bersabda, “Tidaklah Allah mengutus seorang nabi pun melainkan dirinya pasti pernah menggembala kambing”. Maka para sahabatnya bertanya, ”Apakah engkau juga wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, ”Ya, Aku pernah menggembala kambing milik seorang penduduk Mekah dengan upah beberapa qirath”. (Hadith Riwayat Bukhari)

Mari saya kongsikan kali ini beberapa catatan penting berkenaan hikmah kepimpinan yang dipelajari walaupun pada hakikatnya terlalu banyak pengajaran lain yang telah diperolehi.

1. Kesabaran dan istiqamah

Menternak kambing kelihatan mudah. Tetapi hakikatnya ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Masakan tidak, melayani ternakan dalam keadaan panas dan hujan. Ini tidak lagi mengambil kira aspek-aspek yang lain seperti pengurusan kandang, pengurusan kesihatan dan lain-lain lagi.

Si penggembala mempunyai tasawur yang jelas dalam menempuhi dunia ternakan. Di dalam minda mereka, menjadi penggembala memang akan berhadapan ranjau dan duri, cabaran yang tiada sudahnya sebelum mereka bergelar penternak yang berjaya.

Begitu juga ibrahnya bagi seorang yang ingin bergelar pemimpin berjaya. Di benak mereka sentiasa tertanam tasawur bahawa kepimpinan merupakan amanah. Sudah pasti amanah ini akan diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Bila jatuh mereka bangun, andai tersungkur mereka bangkit.

Kegagalan, cabaran, ujian dan sebagainya adalah tangga untuk mereka pergi lebih jauh. Maka semua itu memerlukan kesabaran dan istiqamah.

2. Empati dan nilai keprihatinan yang tinggi.

Pengembala yang hebat dan mahir mampu mengesan masalah yang berlaku terhadap ternakan hanya dengan melihat tingkah laku dan pergerakan ternakannya. Dengan melihat pergerakan, penternak dapat mengenal pasti sama ada ternakan berada dalam keadaaan sihat, lapar, dan lain-lain lagi. Ia benar.

Lebih hebat daripada itu, penternak dapat mengenal pasti luka daripada ratusan ternakannya hanya dengan mengenalpasti bau. Bagaimana ini mampu berlaku. Nilai empati dan prihatin yang tinggi ini hanya dapat diasah dengan banyak bergaul dengan ternakan tersebut.

Begitu juga ibrah bagi seorang pemimpin, anda tidak akan dapat mengenal pasti masalah orang yang dipimpin tanpa bergaul dan menghabiskan masa bersama mereka. Kesilapan utama mereka yang bergelar pemimpin adalah mengurus manusia dari atas “meja”. Anda tidak akan dapat menanam empati dan nilai keprihatinan hanya dengan pengurusan mesyuarat semata-mata.

Lebih dari itu anda perlu turun kepada masyarakat, bergaul bersama mereka, ketawa dan menangis bersama mereka. Saya yakin haiwan yang liar dapat dijinakkan, inikan pula manusia yang berakal.

3. Memahami dan menjiwai karektor yang pelbagai.

Kerap kali kita membicarakan karektor dan personaliti kemanusiaan. Tahukah anda karektor ternakan juga ada kepelbagaian. Bayangkan seandainya seorang penternak terpaksa menguruskan ratusan ekor kambing dalam sela masa tertentu.

Sudah tentu penternak memerlukan kemahiran yang tinggi dalam memahami jenis-jenis personaliti ternakan yang berada di kandang. Ada dikalangan kambing yang agak beremosi, ada yang garang, ada yang gelojoh, ada yang tidak disiplin dan begitulah sebaliknya. Karektor kambing yang pelbagai memerlukan kepakaran sang pengembala yang luar biasa untuk menguruskan ternakan ini.

Pemimpin yang hebat harus menerima hakikat karektor manusia juga berbeza. Mengenalpasti karektor orang bawahannya merupakan salah satu kunci memudahkan pengurusan. Dengan mengenalpasti karektor anda lebih mudah mengimbangi perbezaan yang berlaku antara pemimpin dan orang yang dipimpin.

4. Keberanian

Saya banyak menerima tetamu dari universiti tempatan untuk melakukan penyelidikan. Saya kerap kali tersenyum lucu melihat gelagat mereka yang melihat kambing seolah-olah melihat harimau.

Kunci bagi mengatasi masalah takut adalah kita sentiasa berhadapan dengan ketakutan itu setiap hari hinggalah ia menjadi sesuatu yang normal dalam kehidupan kita. Begitu jugalah ibrahnya bagi seorang pemimpin. Pemimpin yang hebat, sentiasa berhadapan dengan setiap cabaran dengan jiwa yang besar.

Semakin banyak cabaran yang dihadapi, semakin bertambahlah keberanian si pemimpin.

Mohammad Alif Bin Rahman
NYDP i-Guru Melaka Tengah
(Usahawan penternakan kambing)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *