Kerajaan mesti tolak UEC

Pada 1 April 2017, saya menghadiri perbincangan meja bulat mengenai Unified Examination Certificate (UEC). Persatuan Dong Zong yang merupakan pelopor kepada peperiksaan ini telah mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC yang membolehkan pelajar-pelajarnya diterima masuk ke dalam IPTA.

Namun hasil perbincangan yang dihadiri oleh tokoh-tokoh akademik menjelaskan bahawa ianya harus ditolak dan tidak diiktiraf atas dasar berikut:

1. UEC berada di luar daripada sistem pembelajaran kerajaan. Silibusnya dibuat sendiri dan disemak sendiri tanpa mendapat apa-apa pandangan atau kelulusan pihak kementerian pelajaran.

2. Banyak fakta di dalamnya adalah salah umpamanya dikatakan solat untuk orang Islam ada 6 waktu. Fakta-fakta sejarah juga mengandungi banyak kesalahan.

3. Silibus yang ada banyak mendewakan sejarah negara China berbanding negara Malaysia sendiri.

4. Bahasa pengantarnya adalah bahasa Mandarin dan ini bertentangan dengan Perlembagaan.

5. Dasar pendidikan negara juga menjelaskan bahawa yang dibenarkan pengasingan hanya di peringkat sekolah rendah manakala di peringkat menengah mestilah dimasukkan semua dalam sekolah kebangsaan.

6. Kewujudan sekolah dua aliran ini akan menyebabkan masalah intergrasi kaum yang semakin renggang dan ini boleh menimbulkan soal keselamatan.

7. Ahli-ahli Dong Zong ini kebanyakannya adalah pengusaha sekolah-sekolah menengah Cina dan ada elemen kepentingan ekonomi mereka kerana jika dibenarkan maka permintaan terhadap sekolah mereka akan meningkat dan mendatangkan pendapatan yang lumayan. Jadi motifnya adalah duit bukan kesejahteraan negara dan rakyat.

8. Tidak semua orang Cina di negara ini yang suka kepada sekolah berkenaan dan masih ramai yang menghantar ke sekolah kebangsaan. Ini membuktikan ianya hanyalah kehendak segelintir kaum Cina sahaja. Jadi ia tidak harus dilayan.

9. Oleh kerana mereka telah melanggar Perlembagaan dan juga dasar pendidikan negara maka jika ia diteruskan maka ia boleh dibawa ke mahkamah.

Jadi semua faktor ini menyebabkan UEC perlu ditolak sama sekali oleh pihak kerajaan. Ia hanya akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Sekarang sudah terdapat 61 buah sekolah menengah Cina di seluruh negara. Jika dibiarkan maka polarisasi kaum akan lebih dahsyat lagi pada masa akan datang.

Namun kelemahan pimpinan negara disebabkan ketagihan undi maka kemungkinan perkara ini akan diluluskan dan diiktiraf adalah besar. Pimpinan negara sudah hilang ‘political will’ dalam mempertahankan bangsa dan jati diri negara.

Aminuddin Yahaya
Timbalan Presiden Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *