Kesusahan Hidup Mendidik Diri Memberi Sumbangan Kepada Masyarakat

Tenang, tegas dan berkepemimpinan. Perwatakan itulah yang sesuai menggambarkan peribadi Dr Osman Md Rasip, anak jati Muar, Johor. Berasal daripada keluarga yang susah dan dibesarkan bersama sepuluh orang adik-beradik benar-benar mendidik Dr Osman menjadi seorang insan yang bertanggungjawab serta meletakkan kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi.

“Sejak zaman remaja lagi saya sudah dididik oleh keluarga untuk berdikari, mencari wang saku dengan berkebun dan berniaga terutama pada waktu hujung minggu dan cuti panjang. Ketika itu keadaan tidak semudah hari ini, namun kesusahan dan keperitan itulah mendidik kita menjadi seorang insan yang lebih kuat dan bertanggungjawab.”

Biarpun berasal daripada sebuah keluarga yang serba kekurangan, namun pendidikan dan ilmu pengetahuan sentiasa dititikberatkan dalam keluarga tersebut. Dr Osman mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan dan agama serta sering mengikuti kuliah-kuliah agama di sekitar Muar kerana cintanya kepada ilmu pengetahuan.

Berkat kesungguhannya, beliau berjaya melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah sarjana muda Ekonomi Dan Pentadbiran di Universiti Malaya dan meneruskan pengajian di peringkat  Sarjana dalam bidang Peradaban Islam dan Barat.  Dr Osman kemudiannya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah dan kini memegang tanggungjawab sebagai Pensyarah Kanan Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam di universiti yang sama.

“Tidak dapat dinafikan, kehidupan sebagai seorang pensyarah memerlukan komitmen masa yang sangat banyak. Perlu mengajar, menyelia, menjalankan penyelidikan, terlibat dengan urusan pentadbiran dan akademik, namun itu bukanlah alasan untuk kita tidak memberikan sumbangan terbaik dan sebanyak mungkin kepada masyarakat.”

Bapa kepada lapan orang anak, merangkap Yang DiPertua Ikatan Muslimin Malaysia Kuala Lumpur (Isma KL) ini bukan sahaja cemerlang dalam dunia akademik, malah beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

“Isma cawangan Kuala Lumpur melalui pelbagai agensinya seperti Biro Dakwah, Biro Keluarga dan Masyarakat, Biro Wanita, Kelab Remaja Isma (KRIM), Biro Pemuda, NAZIM dan lain-lain giat menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan seperti kuliah-kuliah di masjid, misi bantuan banjir, kempen ‘Jom Baca Al-Quran’, Sunathon dan pelbagai lagi aktiviti yang memberi manfaat buat segenap lapisan masyarakat.”, jelas Dr Osman sambil tersenyum.

Di peringkat antarabangsa pula, Dr Osman terlibat secara aktif sebagai delegasi Yayasan Ikhlas pada setiap tahun ke luar negara bagi menghantar bantuan dan sumbangan khususnya ke rumah yatim Ar Raudah di Lhokesemawe, Aceh. Selain itu, beliau juga diberi amanah dan tanggungjawab memberi perkongsian pengalaman dan ceramah motivasi kepada para pelajar Malaysia di luar negara  seperti di Indonesia dan Australia. Beliau turut menjadi Ahli Lembaga Penasihat Aman Palestin Bhd. Cawangan Kota Damansara yang giat membantu dan menyalurkan sumbangan kepada saudara seakidah di Palestin serta mengadakan ceramah dan kempen-kempen berkaitan kezaliman dan penindasan regim Zionis Israel terhadap umat Islam di di sana.

“Mungkin kita rasakan bahawa sumbangan yang kita lakukan kepada masyarakat itu kecil, namun bahawa segala amalan yang dilakukan dengan bersungguh dan ikhlas adalah besar di sisi Allah SWT. Bukankah manusia yang terbaik itu adalah mereka yang memberi manfaat buat ummah?”

Apabila disoal berkenaan harapan kepada masyarakat pula, Dr Osman dengan penuh bersungguh menyatakan, “Umat Islam pada hari ini terlibat dalam pelbagai ancaman. Sebilangan golongan agamawan sibuk berbalah mengenai isu-isu khilafiah yang tidak berkesudahan, manakala ancaman luar seperti ancaman liberalisma, syiah dan serangan pemikiran secara bertali arus menyerang umat islam di Malaysia. Di sudut yang lain isu-isu akhlak umat Islam semakin parah dan menakutkan. Ternyata, kita perlukan lebih ramai da’ie bagi membimbing ummah kembali kepada agenda Islam yang jelas dan terang.”

Sesi temubual ditutup dengan sebuah persoalan oleh Dr Osman untuk dimuhasabah oleh kita bersama; “Kalau bukan kita yang berkorban dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mentarbiah ummah, siapa lagi yang mahu kita harapkan?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *