Ketajaman QALAM alaf baru

Qalam atau penulisan di alaf baru telah berkembang seiring dengan kehebatan, kemodenan, kemajuan dan penemuan-penemuan baru. Tidak dapat dinafikan lagi peranan qalam alaf baru ini semakin pantas dalam menyampaikan maklumat.

Banyak faedah yang diperolehi daripada perkembangan arus kemajuan qalam ini sekiranya dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh semua pihak.

Rasulullah SAW menyebut perkataan Al-Qalam dalam riwayat Ahmad yang membawa maksud asal seolahnya hanya berbentuk pena dan tulisan tangan semata-mata.

Ia digambarkan daripada hasil lukisan, kartun, mungkin juga komik, majalah, buku dan akhbar. Pengarang, editor, kartunis yang berperanan dalam bidang penulisan ini telah memahami bahawa Al-Qalam yang dimaksudkan oleh Rasulullah membawa maksud yang lebih besar lagi.

Qalam telah melalui proses transformasi seperti media lain bila tercetusnya fenomena berupa aplikasi Whatsapp, Telegram, Instagram, Weechat, Facebook, Twitter dan lain-lain lagi. Entah apa lagi fenomena yang akan tercetus pada masa akan datang.

Namun dari satu sudut yang lain, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa perkembangan yang dilihat kemajuan ini juga sebagai tanda-tanda akhir zaman. Ini lebih ketara budaya yang buruk mula melingkari kehidupan dunia seperti budaya memfitnah, menuduh, menghasut, bertelingkah berterusan sehinggalah musuh Islam membina kekuatan qalam moden untuk menyerang Islam dengan pelbagai sudut dan ruang.

Manusia juga leka daripada mengingati firman Allah dalam Surah Qaf, ayat 18:

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Begitu juga dengan pesanan baginda Nabi Muhammad SAW yang mencirikan keperibadian orang Islam itu sebagai orang meninggalkan percakapan dan penulisan yang tidak memberi manfaat kepadanya.

Sabda baginda yang diriwayatkan oleh Al-Haithami:

“Antara kebaikan Islam seseorang itu ialah dia meninggalkan (perbuatan dan percakapan) yang tidak memberinya faedah.”

Kesan daripada kemajuan dan kemodenan Al-Qalam ini, manusia akan terus leka walaupun kekayaan telah dimiliki, mengeluh tidak puas hati sedangkan nikmat sudah di hadapan mata.

Nilai Adab yang digambarkan dengan akhlak mulia, sahsiah yang baik, penuh sifat mahmudah, perlu la disemai dalam penulisan atau qalam ini. Qalam sangat penting untuk mewujudkan kasih sayang, hormat menghormati, tolak ansur dan seterusnya mengeratkan ukhuwwah antara satu sama lain. Adab-adab ini perlulah dipatuhi sesama umat Islam supaya dapat menjauhkan diri daripada sifat yang buruk serta mengelakkan diri daripada fitnah.

Malangnya kini, sudah menjadi trend untuk menyebarkan fitnah sehingga di luar daripada batasan sepatutnya. Muslim sesama muslim sepatutnya saling menyokong bukannya menuduh dengan pelbagai tuduhan. Apatah lagi sekiranya gerakan Islam masih leka dan lupa realiti ini.

Kesempatan ini diambil oleh golongan liberal yang melihat qalam moden ini sebagai satu alat yang sangat efektif dalam menabur dakyah kepada muslim yang masih leka bercakaran. Bilangan golongan liberal yang sedikit sahaja tapi mampu mengkucar-kacirkan fikrah Islam di kalangan masyarakat muslim di Malaysia adalah satu yang sangat membimbangkan. Selain itu mereka juga mengelirukan pemikiran umat Islam dan terang-terang mengutuk institusi agama seperti Pejabat Mufti, pejabat agama Islam, Majlis Agama Islam Negeri, JAKIM dan lain-lain lagi.

Seharusnya Qalam moden ini menjadikan muslim bersatu padu serta berjaya untuk menangkis dakyah golongan liberal. Anehnya seruan ini dianggap satu yang tidak logik bahkan tidak dilayan kerana menganggap golongan liberal perlu dihadapi dengan penuh beradab. Sedangkan sesama muslim diserang dengan tuduhan yang tidak beradab.

Qalam moden dan adab neraca yang sebenar sudah tidak dapat dinilai dengan baik. Qalam moden terus dijadikan peluang untuk membunuh karier dan masa depan seseorang. Kalau tersilap strategi masih boleh diselesai dengan wang ringgit.

Marilah kita bersama-sama mengelak daripada menyebarkan perkara yang tidak jelas melalui qalam moden ini, elakkan daripada mengulas isu-isu tertentu jika masih kabur dan tidak segera membuat rumusan sedangkan isu masih belum difahami.

Kita juga perlulah memaksimumkan keupayaan dalam penggunaan qalam moden serta menyebarkan keindahan Islam dan menangkis serangan-serangan daripada golongan liberal. Mengoptimumkan dakwah melalui qalam moden akan dapat mengesani masyarakat dengan lebih cepat dan laju. Kelewatan para pendakwah mengambil kesempatan ini akan menjauhkan lagi jurang kejayaan kita dengan golongan liberal.

Sudah tiba masanya para pendakwah juga adalah seorang editor, juga seorang pemberita dalam menilai satu peristiwa dan kejadian. Nilaian seorang pendakwah dalam melihat sesuatu kejadian akan pasti wujudnya perbezaan yang jelas daripada pemberita yang tiada asas tarbiyah. Kekuatan media sudah menjadi satu keutamaan dalam mana-mana gerakan Islam.

“Cukuplah seseorang itu digelar penipu apabila bercakap apa sahaja yang didengarinya (tanpa mengetahui kebenarannya).” (Hadis Riwayat Muslim)

Ustaz Agus Lukman
Ketua Biro Tarbiyah Isma cawangan Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *