Ketuanan Melayu bukan rasis

 

Oleh Siti Noor Atifah Mohd Asri

IPOH, 7 Januari – “Konsep Ketuanan Melayu sering dikaitkan dengan rasis, seakan-akan ianya tindakkan membenci bangsa lain. Namun makna sebenar disebalik ‘Ketuanan Melayu’ itu sebenarnya adalah untuk menonjolkan bahawa bangsa Melayu itu sebagai tuan rumah dan sebagai penduduk asal tanah ini semenjak sebelum kedatangan kaum yang lainnya lagi. Sejarah sendiri telah membuktikan negara ini adalah tanah tumpahnya darah bangsa melayu,” kata Ustaz Zamri Hashim, Yang Di-Pertua (YDP) Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Ipoh merangkap Timbalan Mufti Perak semasa ceramah Kempen Selamatkan Ummah (KSU) di Masjid Solatiah baru-baru ini.

Ustaz Zamri turut menerangkan makna sebenar assobiah dalam Islam yang  terbahagi kepada dua, iaitu assobiah positif dan assobiah negatif.

Assobiah positif itu adalah nilai perpaduan, dan semangat kekitaan manakala assobiah negatif pula adalah mereka yang sanggup mengabaikan nilai perpaduan dan keadilan semata-mata ingin melihat bangsanya sahaja yang maju.

Tuntutan ketuanan melayu hanyalah agar tuan tanah kekal sebagai tuan tanah, dan agar jurang ekonomi antara bangsa-bangsa lainnya tidak terlalu jauh berbeza.

Jelasnya itu adalah assobiah yang positif kerana bangsa Melayu tidak pernah menyekat mana-mana bangsa untuk mendapat tempat dalam negara ini, samada daripada sudut ekonomi, pengamalan agama, dan lain-lain lagi.

“Assobiah yang negatif akan terjadi jika kita menganggap bangsa Melayu sebagai tuan manakala bangsa lainnya sebagai hamba. Namun jelas dan terbukti situasi itu tidak pernah terjadi di Malaysia. Konsep sebenar assobiah positif ini sedikit pon tidak salah disisi hukum syarak”, tegasnya lagi.

Di samping itu, Ustaz Zamri juga menyeru agar semua menyepakati bahawa kemuliaan seseorang manusia itu tidak dilihat kepada bangsanya, tetapi kepada nilai taqwanya.

Seperti mana Firman Allah swt dalam surah Al-Hujurat yang berbunyi “wahai manusia, kami ciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berkabilah-kabilah dan berpuak-puak. Sesungguhnya yang lebih mulia daripada kamu adalah yang lebih bertaqwa”.

Sebagai kesimpulan, Ustaz Zamri menyeru umat Islam di Malaysia agar memahami konsep Ketuanan Melayu yang sebenar dalam konteks negara kita yang memiliki kepelbagaian kaum dan agama. Nilai Islam itu perlu diangkat lebih tinggi kerana ianya merupakan akidah dan kepercayaan kita sebagai bangsa tuan tanah di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *