Khidmah 2018: Menjejak wilayah pahala Ramadhan

26 May 2018, Kuang- Ramadhan bukanlah alasan untuk orang muslim menjadi tidak bertenaga sebaliknya Ramadhanlah bulan yang terbaik untuk memulakan dan membentuk tabiat-tabiat murni di dalam diri.

Menyahut seruan ini, seramai 89 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar universiti tempatan dan kolej persedian luar negara serta alumni Biro Luar Negara (BLN) ISMA , menghabiskan masa seharian seawal sembilan pagi untuk beraktiviti Khidmah di perkampungan Kuang, Gombak.

Program Khidmah anjuran Biro Luar Negara (BLN) ISMA dengan usahasama Unit Yayasan Ikhlas, PACU dan i-Medik Kuala Lumpur pada Ramadhan kesebelas ini merupakan satu inisiatif untuk membentuk anak-anak muda bersikap ambil peduli terhadap masyarakat dan memupuk tabiat mulia untuk memberi terutamanya pada bulan Ramadhan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah i-Backyard Science untuk kanak-kanak dimana eksperimen-eksperimen sains yang menarik didemonstrasikan oleh sukarelawan PACU. Kanak-kanak yang menyertai aktiviti tersebut tertarik dengan kehebatan ciptaan Allah melalui eksperimen sains yang dijalankan.

Seterusnya, aktiviti Bakul Ramadhan, dimana bantuan keperluan asas dan sedikit sumbangan wang derma yang dikutip diberikan kepada orang kampung yang memerlukan.

Salah seorang sukarelawan memberitahu bahawa, “Ramadhan ini adalah antara Ramadhan yang paling bermakna bagi saya kerana dapat berkongsi dengan mereka yang memerlukan”.

Dalam kesenangan menjalani hidup sehari-hari, para sukarelawan menginsafi bahawa masih ramai yang bersusah payah demi mencari sesuap nasi. Kutipan derma untuk program Khidmah ini telah berjalan sebulan awal sebelum menyambut ketibaan Ramadhan. Kutipan sebanyak RM 2,500 berjaya dikutip untuk agihan kepada penduduk kampung yang memerlukan.

Selain daripada itu, sukarelawan juga turut bantu mengemas rumah anak-anak yatim dan bergotong-royong membersihkan surau.

Usai aktiviti Khidmah seharian, para sukarelawan menjamu iftar bersama-sama penduduk kampung di Masjid Islahiah.

Kedatangan Ramadhan sentiasa ditunggu-tunggu oleh Rasulullah dan para Sahabat. Bahkan mereka selalu berdoa agar dipanjangkan umur untuk sama-sama dapat berpuasa dan beramal dibulan mulia ini.

Beruntungnya kita kerana diberi peluang untuk merasai Ramadhan ditahun ini!

Perbanyakkanlah amalan yang baik dan hindarilah amalan yang mungkar agar Ramadhan kali ini dapat menjadi satu titik tolak perubahan kearah yang lebih baik. Semoga Ramadhan kali ini menjadi permulaan yang bermakna untuk meneruskan langkah menjadi Muslim yang produktif!

 

Unit Kewartawanan Biro Luar Negara ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *