KKM wajar kekalkan syarat BM SPM untuk semua lantikan perjawatan

Kenyataan rasmi I-Medik

I-Medik menyokong sebarang bentuk usaha ke arah memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Melayu di dalam negara, di mana salah satunya ialah syarat wajib kredit bahasa Melayu dalam SPM bagi perlantikan tetap penjawat awam dan wajib lulus bagi pekerja awam kontrak.

Perkara ini merujuk kepada perbincangan yang agak hebat tentang kelonggaran syarat wajib lulus bahasa Melayu peringkat SPM bagi pegawai perubatan yang ingin ditempatkan secara tetap yang telah diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia semalam. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham telah mengatakan bahawa graduan perubatan yang berkelayakan perlu diberi kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu bagi SPM untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan Gred UD41.

Dikhuatiri bahawa jika syarat lulus Bahasa Melayu dilonggarkan, pengamal-pengamal perubatan berkelayakan daripada luar negara akan menggunakan peluang ini untuk bekerja di negara kita lantas menjejaskan peluang pekerjaan pengamal-pengamal perubatan keluaran negara kita.

Umum mengetahui bahawa, syarat wajib kredit dan lulus bahasa Melayu memang sudah termaktub dalam polisi kerajaan bagi sesiapa yang ingin menyertai perkhidmatan kerajaan semenjak dahulu lagi.

Walaubagaimana pun, polisi ini telah diberi kelonggaran pada masa dahulu bagi graduan perubatan disebabkan kekurangan doktor pada waktu itu. Namun, dengan situasi yang ada sekarang di mana lambakan doktor berlaku, sudah tiba masanya syarat wajib kredit bahasa Melayu ini dikuatkuasakan semula dan kami ingin mengesyorkan supaya ia dijadikan syarat bagi semua bidang perkhidmatan kerajaan dan bukan sahaja dalam bidang perubatan.

I-Medik memandang sudah tiba masanya syarat kredit Bahasa Melayu SPM untuk perlantikan tetap dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan tegas demi memenuhi aspirasi kerajaan dalam memupuk semangat perpaduan dan selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152 dan Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Kami maklum bahawa Bahasa Melayu penting untuk komunikasi dengan pesakit yang rata-ratanya fasih berbahasa Melayu dalam rangka merumuskan diagnosa yang tepat dan jitu untuk merawat pesakit sebaik-baiknya. Sebaliknya, jika pengamal perubatan kurang mahir atau tidak memahami Bahasa Melayu, maka boleh berlaku kesilapan dalam diagnosa dan rawatan yang boleh mengakibatkan kematian.

I-Medik juga berpendapat bahawa subjek sejarah juga sepatutnya menjadi subjek wajib lulus bagi mereka yang ingin berkhidmat dalam perkhidmatan awam kerajaan. Penjawat awam yang kenal sejarah akan lebih dedikasi dan terdorong untuk lebih produktif dan efisien dalam kerjaya mereka.

Prof Dr Azmi Md Nor

Presiden

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *