KLS Kuantan 2017 galakkan pelajar kejar cita-cita disamping memberi manfaat kepada orang lain

KUANTAN, 26 Jan. – Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan, Dr Mohamad Nor Sundari menyarankan semua peserta Kem Lepasan Sekolah (KLS) pada kali ini supaya bukan sahaja mengejar cita-cita yang diingini tetapi juga perlu menjadi seseorang yang boleh memberi manfaat kepada orang lain serta mengajak untuk berjaya dan cemerlang seperti mereka juga.

“Kerana waktu saya dulu, belum ada program-program karnival sebegini yang memberi pendedahan mengenai peluang dan persediaan sebelum masuk ke alam universiti, cara memohon biasiswa serta temuduga termasuk maklumat-maklumat lain yang berkaitan dengan persediaan ke universiti.

“Semoga peluang yang diperolehi oleh para peserta melalui program ini dapat digunakan sebaiknya serta bukan mengejar cita-cita sebagai seorang professional seperti jurutera serta doktor sahaja, tetapi boleh juga mencuba bidang-bidang lain seperti petani moden, karya kreatif, sains sosial, politik sains dan sebagainya,” ujar beliau lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian KLS anjuran Kelab Remaja Isma (KRIM) serta Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Kuantan di sini baru-baru ini.

Menurut Pengarah KLS Kuantan 2017, Saudara Muaz Rushdan, karnival ini adalah merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh KRIM di seluruh Malaysia untuk memberi pendedahan bagi mempersiapkan para pelajar lepasan sekolah sebelum mereka memasuki alam kolej dan universiti nanti.

“Disamping itu juga, melalui KLS ini mereka akan diterangkan mengenai berbagai pilihan bidang kerjaya yang boleh diceburi, peranan mereka sebagai pelajar dan ahli masyarakat di dalam pembangunan individu, masyarakat dan negara, serta kepentingan beraktivisma dalam melahirkan pemimpin di dalam setiap bidang.

“Program KLS ini juga adalah program permulaan sebelum mereka hadir ke program yang lebih menyeluruh iaitu One Step Closer (OSC) serta Xpresi 1, 2 dan 3,” jelas beliau lagi.

Antara slot yang diadakan melalui KLS Kuantan 2017 ini adalah Sesi Networking (Ice Breaking) bersama Dr Anas Yusoh, Pegawai Perubatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Slot Halatuju Selepas SPM oleh Prof. Dr. Azmi Md Nor, Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan, Tips Biasiswa dan Temuduga oleh Saudara Mohd Farhan Abd Latep, Jurutera Sime Darby Industrial Sdn. Bhd., Sesi Taklimat Kerjaya oleh Saudari Atiqah Jamaludin (Pelajar Sains Biotek, UIAM), Cikgu Zulhaimah Mohd Isa (Guru, SMK Gudang Rasau), dan Dr Muhammad Faysal Tajurudin (Pegawai Perubatan, HTAA) serta Sesi Sembang Santai Anak Xpresi oleh alumni KLS iaitu Saudari Najlaa Aminuddin (Pelajar Pergigian, UIA Kuantan), Saudara Muhammad Azam Asri (Pelajar Kejuruteraan Mekatronik, UIA Gombak), dan Saudara Firdaus Muhammad (Jurutera Petronas).

Antara slot lain yang juga diadakan bagi memeriahkan suasana adalah sesi pengenalan mentor dan juga cabutan bertuah kepada peserta yang telah hadir dan juga telah mendaftar utk program OSC akan datang.

Peserta program, Muhammad Amir Najmi Fauzi, pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong ketika ditemui berkata, beliau merasakan program ini sangat banyak membantu kerana sebelum ini pernah terlepas maklumat mengenai perancangan selepas SPM serta program ini diisi dengan slot-slot yang menarik bersama penceramah dan ahli panel yang berpengalaman dan telah berjaya dalam bidang masing-masing.

Manakala, Muhammad Azib Ahmad Ghulamuddin, pelajar lepasan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan turut menyatakan program ini sangat menarik dan beliau mengharapkan supaya lebih ramai lagi peserta dapat hadir ke KLS ini pada tahun hadapan terutama kepada pelajar melayu dan Islam serta lebih ramai penyertaan dari kalangan fasilitator, penceramah dan alummi KLS bagi memeriahkan lagi program.

Sementara itu bagi peserta lain, Nor Atirah dan Faras Suraya Sharkawi menyatakan banyak maklumat yang mereka telah perolehi terutama melalui slot temuduga dan perkongsian pengalaman, serta berasa sangat beruntung dan tidak sabar untuk menyertai program-progam yang seterusnya.

Program KLS Kuantan yang bertemakan ‘Profesion Pelajar dan Survival’ ini telah diadakan selama sehari serta difokuskan kepada semua pelajar lepasan sekolah seperti SPM, STPM dan STAM.

Program ini telah menarik minat seramai lebih 150 peserta dari Negeri Pahang terutama dari Daerah Kuantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *