KLS: Matlamat hidup perlu jelas

Oleh : Muhammad Taqiuddeen Bariman

JOHOR BAHRU, 16 Jan – Para belia harus tahu dan faham apakah matlamat sebenar hidup di dunia. Hidup bukan sekadar untuk kepentingan sendiri, malah ianya jauh lebih luas yang perlu difikirkan para belia.

Demikian pembuka bicara oleh ikon belia, Jibrail Fitrah dalam slot pertama program Karnival Lepasan Sekolah anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Johor Bahru di Dewan MPC, Bandar Baru Uda baru–baru ini.

Beliau yang merupakan penulis buku ‘Si Kosong’ terbitan Sentap Press Sdn. Bhd. berkata, para belia terlalu leka dengan keselesaan sekarang sehingga terlupa tujuan asal hidup.

“Hidup ini bukan untuk mengejar cita-cita dunia semata-mata, tetapi para belia harus memikul tanggungjawab dalam menyumbangkan sesuatu untuk umat Islam dari pelbagai sudut,” katanya.

Tambah beliau yang merupakan pemegang Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di UiTM, matlamat hidup seseorang itu perlulah sejajar dengan tujuan asal penciptaan mereka.

“Kita perlulah meletakkan matlamat hidup ini untuk kepentingan Islam. Sunnah yang paling besar adalah dakwah. Sebagai umat Islam yang bergelar belia, kita haruslah menggembeling sepenuh tenaga berbekalkan semangat yang tinggi dalam memikul tanggungjawab ini.

“Matlamat hidup yang jelas perlulah disusuli dengan perancangan yang teliti dan berkesan. Tidak boleh bersikap sambil lewa dalam melakukan sesuatu perkara, terutamanya dalam hal-hal yang melibatkan halatuju kehidupan kita di dunia ini,” ulas beliau.

Di pengakhiran slot, beliau berkongsi pengalamannya sewaktu alam persekolahan yang agak nakal, dimana titik perubahannya bermula apabila sering memikirkan kata–kata “sampai bila aku nak jadi seperti ini” dan “gagal hari ini tidak bermaksud akan gagal selama–lamanya.”

Pada hari ini, Jibrail telah berubah penampilan akhlaknya sehingga beliau sangat dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

KLS merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) di seluruh negara bertujuan mendedahkan pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM dengan persediaan memasuki alam kampus seperti tips temuduga dan biasiswa, motivasi hala tuju selepas sekolah, pameran kerjaya, forum ‘Survival Kampus’ dan pelbagai lagi aktiviti yang sarat dengan info dan maklumat yang berkaitan.
Program ini bermula pada 7 Januari 2017. Maklumat lanjut mengenai KLS boleh didapati di laman facebook ‘Xpresi Remaja KRIM’.

1 comment

Leave Comment
  1. Abdullah Sani

    Sudah jadi budaya Islam melempar tuduhan kepada Yahudi dalam semua kelemahan Islam. Mereka tidak mahu lihat dalam diri mereka, tapi lebih suka cari sabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *