KLS Melaka 2017 dedah formula 5T untuk berjaya

Oleh : Nur Farhana binti Zali

AYER KEROH, 27Jan- “Semasa kita kecil, pernah tidak ibu ayah kita tanya, bila besar hendak jadi apa? Ia menunjukkan kepada kita betapa ibu bapa mempunyai harapan tinggi dan berpandangan jauh dalam melihat masa depan,” kata Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Melaka, Ustaz Ir Haji Khousaini Mohd Naim pada majlis Perasmian Penutup Karnival Lepasan Sekolah Melaka baru-baru ini.

Karnival Lepasan Sekolah Melaka kali ini telah dihadiri kira-kira 200 pelajar yang tidak hanya hadir dari seluruh negeri Melaka bahkan juga negeri-negeri terdekat yang lain seperti Johor dan Negeri Sembilan. Karnival ini berlangsung selama separuh hari di Dewan Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh.

Penganjuran program perdana yang mensasarkan para pelajar lepasan SPM merupakan satu satunya program dengan tema sebegini di Malaysia. Penganjuran yang telahpun memasuki siri keempat adalah hasil kerjasama rapat Kelab Remaja Isma (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Melaka.

Dalam masa yang sama, Tuan Ir Hj Khoushaini turut berkongsi kepada para peserta kejayaan beliau melalui formula 5T. Taat kepada ibu bapa, tepat dalam memilih kawan dan mentor, teliti membuat perancangan, tekun menuntut ilmu dan kemahiran diri serta terampil dalam perwatakan dan akhlak baik merupakan antara adunan resepi istimewa yang beliau amalkan sehingga kini.

Selain itu, beliau juga berjaya menyuntik inspirasi para peserta dengan kisah perancangan kehidupan beliau yang sungguh teliti. Bukan sekadar perancangan lima tahun akan datang, malah perancangan 10 dan 20 tahun akan datang juga sudah turut tersedia.

Dalam ucapan yang sama, Ir Khousaini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta kerana telah membuat keputusan yang betul untuk hadir ke program ini. Keputusan yang pastinya akan membuahkan hasil yang cemerlang dalam merancang masa depan mereka.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *