KRIM Gombak sokong inisiatif PPD Kuantan

Kelab Remaja ISMA (KRIM) Gombak dengan ini ingin mengucapkan tahniah dan menyatakan sokongan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan  yg telah mengambil inisiatif untuk menyarankan pihak sekolah supaya para pelajar mendirikan solat secara berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah di sekolah-sekolah di daerah Kuantan.

Kami percaya sistem solat berjemaah ini sebenarnya mendidik pelajar untuk menjadi lebih disiplin dalam mengatur keutamaan waktu dalam kehidupan.

Malah, dengan memperuntukkan sedikit masa untuk solat secara berjemaah ini dapat membantu pelajar-pelajar (terutamanya sesi petang) untuk lebih fokus di dalam kelas kerana pelajar Muslim tidak lagi perlu ‘mencuri masa pembelajaran’ untuk menunaikan solat di surau.

Seperti yang diketahui umum, kadar kes keruncingan akhlak di kalangan remaja di Malaysia kian meningkat. Kami percaya, sedikit ‘pelaburan masa’ yang diberikan untuk mendirikan solat secara berjemaah ini bakal melahirkan generasi yang lebih berkualiti dan bersahsiah tinggi. Selari dengan janji Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45.
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Buat pelajar bukan Islam pula, pihak sekolah boleh mengambil peluang ini untuk mengadakan aktiviti amali yang menekankan pembentukan akhlak, seperti yang telah dipelajari di dalam subjek Pendidikan Moral, lantas turut melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak dan bersahsiah tinggi.

Justeru, tidak muncul kekhuatiran sekolah kebangsaan bertukar menjadi sekolah agama, kerana setiap pelajar, baik pelajar Muslim atau tidak, akan mendapat kebaikan daripada sistem ini.

NABILAH AL-MALHUKI ABDUL AZIZ
Timbalan Pengarah
Kelab Remaja ISMA (KRIM) Gombak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *