KRIM, iGuru dan Wanita ISMA Kuantan sokong cadangan pelajar solat sebelum pulang sekolah

Oleh Shuhaimi Shaedon

Kuantan, 5 Dis. – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Kuantan menyokong dan menyambut baik cadangan menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar pulang dari sekolah yang dikemukakan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, Tn Hj Mohd Razali Mustafar baru-baru ini.

“Perkara ini adalah satu langkah praktikal untuk mendidik pelajar mengenai kepentingan solat sejak di bangku sekolah lagi.

“KRIM Kuantan mengucapkan tahniah kepada PPD Kuantan atas inisiatif ini yang telah banyak disokong oleh ibu-bapa dan tenaga pengajar bukan sahaja di daerah Kuantan, bahkan di seluruh negara.

“Kami juga ingin menyatakan kekesalan pada beberapa individu yang menentang usaha murni ini yang jika dilihat pada lunas perundangan negara, cadangan ini tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996,” katanya.

Demikian menurut Pengarah KRIM Kuantan, Saudara Mohd Affiq Mohd Ali ketika ditanya berkenaan isu bantahan terhadap arahan solat berjemaah sebelum pelajar pulang dari sekolah oleh PPD Kuantan.

Jelas beliau lagi, solat adalah salah satu rukun Islam yang menjadi kewajipan setiap muslim untuk melaksanakannya, dan sebaik-baik pelaksanaan solat adalah di awal waktu secara berjemaah.

“Pelaksanaan solat juga adalah tanda rendah diri dan syukur seorang muslim kepada Allah, Tuhan sekalian Alam.

“Diharap pelaksanaan solat berjemaah sebelum tamat sesi persekolahan ini akan berjaya memupuk nilai-nilai disiplin dan jatidiri di kalangan pelajar, bersesuaian dengan peranan institusi pendidikan untuk mendidik aset generasi pemimpin di masa hadapan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Pahang juga berdiri teguh menyokong serta bersama-sama PPD Kuantan mempertahankan seruan mewajibkan pelajar muslim solat berjemaah di sekolah.

Pengerusi iGuru Pahang, Ustaz Norman Mohd Nor berkata, sekolah adalah sebuah institusi pentarbiyahan yang paling berkesan mendidik pelajar menjadi modal insan yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan daya intelektual.

“Kami juga menyeru pihak yang sengaja menimbulkan keraguan dalam hal ini menarik balik kata-kata mereka serta memohon maaf kerana telah menyinggung perasaan para guru dan majoriti umat Islam di Malaysia khususnya.

“Kita bimbang jika tidak ada usaha memperkasakan solat di peringkat awal, anak-anak Islam akan menjadi hilang pedoman dan hanyut dalam dunia materialisme sebagai pemimpin pada masa akan datang,” jelas beliau lagi yang juga merupakan Naib Yang Dipertua ISMA Cawangan Kuantan.

Manakala, menurut Ketua Wanita ISMA Kuantan, Ustazah Norhayati Ahmad Salleh ketika ditemui juga memberikan sokongan padu terhadap saranan Pegawai PPD Kuantan tersebut.

Jelas beliau, saranan ini sangat wajar kerana para pelajar pulang ke rumah selepas waktu Zohor dan pihak sekolah bertanggungjawab memantau ibadat ini supaya dilaksanakan oleh para pelajar.

“Semua pihak khususnya pentadbiran sekolah, ibu-bapa dan guru wajarlah bekerjasama untuk merealisasikan saranan murni PPD Kuantan ini.

“PPD Kuantan telah melakukan tindakan yang betul untuk masa depan para pelajar di Malaysia yang lebih cemerlang. Tohmahan yang dilempar adalah cabaran yang tidak patut melemahkan pihak yang benar dan ikhlas,” tegas beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *