KRIM Kuala Lumpur dan SMK Kiaramas berjaya laksanakan Kem Kecemerlangan untuk Pelajar PT3 dan SPM

oleh Noradlina Zkeri

Kuala Lumpur, 10 Mei- “Punca kegagalan kita mencapai kejayaan yang kita impikan adalah diri kita sendiri”, kata Azaim Hasidi dalam ceramahnya yang disampaikannya dalam program Kem Kecemerlangan Pelajar-pelajar Muslim PT3 dan SPM anjuran bersama Kelab Remaja Isma Kuala Lumpur dan SMK Kiaramas, Kuala Lumpur.

Dalam slotnya ini, dia turut sempat menitipkan pesanan buat para peserta agar jangan pernah merasa putus asa. Ujar beliau, ” Jangan berputus asa biarpun pernah gagal mencuba. Cuba bayangkan, jika Rasulullah saw putus asa dalam menyampaikan dakwah, sudah tentu kita tak dapat merasai nikmat Islam sekarang”.

Oleh yang demikian, seorang pelajar perlu bangkit kembali biarpun pernah gagal dalam pelajarannya, kerana kejayaan akan digapai oleh orang yang benar-benar berusaha cuba mendapatkannya. Selain itu, para peserta juga diajak untuk mengubah persepsi kelemahan mereka sebagai salah satu perkara yang mesti ditangani.

SMK Kiaramas dan KRIM Kuala Lumpur telah bersama selama tiga tahun berturut-turut menganjurkan Kem Kecemerlangan khusus untuk pelajar PT3 dan SPM. Selain daripada suntikan motivasi untuk mencapai kejayaan, para peserta turut didedahkan berkenaan teknik belajar yang berkesan.

Sesi latihan dalam kumpulan juga merupakan salah satu aktiviti yang turut diadakan pada hari kejadian. Sesi ini telah memberi keyakinan kepada para peserta untuk memberikan idea dan berbincang antara sesama ahli kumpulan. Mereka juga kelihatan sangat teruja dan melibatkan diri mereka sepenuhnya ke dalam aktiviti ini.

Menurut salah seorang peserta program, aktiviti-aktiviti sepanjang Kem Kecemerlangan sangat memberi manfaat dan mengeratkan ukhuwah antara para peserta. Beliau juga merasa bersemangat untuk belajar dengan lebih baik untuk mendapatkan keputusan cemerlang untuk SPM nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *