KRIM Ramadan Outreach, dekati masyarakat memerlukan

Juasseh, 21 Jun – seramai 10 orang pelajar sekolah menengah telah menyertai Program Ramadhan Outreach, satu program berbentuk sukarelawan yang telah dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA Cawangan Kuala Pilah bertempat di Masjid Kariah Pekan Juasseh, Kuala Pilah pada hari Ahad lepas, 18 Jun 2017.

Objektif utama program ini adalah untuk mengajak para remaja menanam kesedaran untuk mereka mengenali potensi yang boleh disumbangkan kepada masyarakat, bangsa dan agama. Selain itu juga, program ini dilaksanakan bagi memberikan kefahaman tentang Islam khususnya dalam bulan Ramadan. Program ini juga dapat mengeratkan ikatan ukhuwah sesama peserta.

Antara perkongsian ilmu yang diberikan adalah berkaitan Peperangan Badar. Perkongsian ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Faisal, Setiausaha Agong ISMA Kuala Pilah. Seterusnya, program ini diteruskan dengan sesi ‘ice breaking‘ dan kuiz interaktif. Slot ini diadakan bagi menguji kefahaman peserta mengenai ibadah Islam khususnya dalam bulan ramadan.

Kemuncak program ini adalah aktiviti sukarelawan, dimana para pelajar menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada dua keluarga asnaf. Rumah asnaf yang pertama ialah Puan Siti Mariam yang merupakan ibu tunggal, mempunyai 7 orang anak. Dia menyara anak-anaknya dengan bekerja sebagai tukang sapu masjid serta menjual nasi lemak pada sebelah malam. Keluarga asnaf kedua ialah Puan Jamilah Bt Ujang, ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak istimewa. Anak pertamanya menghadapi masalah sejak lahir yang mengakibatkan lumpuh seumur hidup. Anak keduanya pula mengalami masalah pembelajaran dan ditempatkan di sekolah pendidikan khas.

Program ini diakhiri dengan sesi perkongsian oleh semua peserta dengan mengambil ibrah atas aktiviti sukarelawan yang telah dijalankan. Program ini dapat memberikan pengalaman baharu kepada para peserta serta memberikan impak positif terhadap semua akan nikmat Islam yang Allah kurniakan. Iman disyukuri, hidayah dihayati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *