Krisis kepimpinan: Perpecahan umat semakin parah

Hj-Mohd-Tahir-YDP-ISMAj

Melihat kepada suasana yang sedang melanda bangsa Melayu Islam di negara ini, kita merasa amat gerun dengan masa depan umat Islam di negara ini. Krisis kepimpinan yang berlaku dalam PAS telah mengakibatkan terbentuknya kumpulan G18 yang berakhir dengan munculnya Gerakan Harapan Baru (GHB), dan yang terkini perselisihan dalam UMNO telah membawa kepada pemecatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan beberapa orang Menteri Kanan.

Bibit-bibit perselisihan yang berlaku sejak bertahun lamanya gagal dibendung, yang berakhir dengan perpecahan yang menyeret masyarakat untuk turut sama berpecah. Umat Islam gagal menghayati firman Allah SWT yang menyatakan bahawa orang Mukmin itu bersaudara dan jika berselisih hendaklah didamaikan.

Kita gagal melahirkan pemimpin yang berjiwa besar untuk mendamaikan mereka yang berselisih, tetapi ramai pemimpin yang dilahirkan adalah ibarat mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang membara. Malah lebih buruk lagi umat Islam yang tidak terlibat secara langsung dalam krisis ini telah bertindak lebih sudu daripada kuah, yang mengapikan lagi perselisihan tersebut.

Kita perlu sedar bahawa bangsa Melayu adalah bangsa tunggak kepada umat Islam di negara ini. Berpecahnya bangsa Melayu secara langsung akan berpecahnya umat Islam yang seterusnya membawa kepada ketidakstabilan dalam negara.

Umat islam tidak perlu terikut-ikut dengan suasana perpecahan ini, sebaliknya marilah kita melihat kehadapan, kesan perpecahan ini kepada umat Islam di negara ini. Janganlah kita terjebak dengan perancangan musuh Islam yang sentiasa mencari ruang untuk menguasai umat Islam di negara ini melalui cara pecah dan perintah.

‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’

Tuan Hj. Mohd Tahir Hamdan
Yang Dipertua ISMA Johor Bahru
30 Julai 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *