Kristianisasi di mana-mana

 

Sumber: https://www.christianpost.com/news/christians-banned-from-using-allah-in-malaysia-protest-decision-106620/

 

 

Kristianisasi bukan sahaja bermaksud menukarkan agama seseorang yang beragama Islam kepada agama Kristian, malah yang kerap dan mudah berlaku ialah menukar fahaman seseorang muslim terhadap agama Islam menjadi seperti fahaman orang-orang Kristian terhadap agama mereka.

Orang-orang Kristian berpegang kepada fahaman bahawa negara tidak boleh menguatkuasakan apa-apa undang-undang agama ke atas rakyatnya. G25 dalam cadangannya untuk memansuhkan undang-undang khalwat secara tidak langsung membawa satu aspirasi yang sama seperti fahaman orang-orang Kristian terhadap agama mereka, bahawa dosa itu adalah hal peribadi, negara tidak boleh campurtangan. Ini juga merupakan intipati fahaman sekular dan liberal.

Hakikatnya, kuasa dalam negara Islam digunakan untuk menjaga kepentingan agama individu dengan menyekat penularan maksiat, sebagai contoh dalam konteks ini ialah zina dan khalwat, daripada menjadi fenomena masyarakat yang membarah, yang akhirnya akan meruntuhkan moral individu, institusi keluarga dan akhirnya negara.

Keruntuhan inilah yang berlaku di Barat, apabila tiada lagi kepercayaan antara suami dan isteri maka fenomena “single parent”, hubungan songsang seperti gay dan lesbian yang tiada menelurkan beban “parenting”, keganasan remaja seperti membunuh beramai-ramai menggunakan senjata api akibat kempunan kasih sayang ibu bapa, dan pelbagai fenomena keruntuhan lain lagi yang membarah dalam masyarakat Barat, terutamanya Amerika Syarikat.

Penggunaan istilah agamawan yang dirujuk sebagai seseorang yang mempunyai autoriti agama dan bercakap bagi pihak Tuhan juga berasal daripada fahaman orang-orang Kristian. Sekarang semakin ramai anak muda yang menggelarkan ulamak dan pendakwah Islam itu sebagai agamawan sambil membawa sentimen benci dan meluat kepada golongan ini yang dituduh memonopoli kebenaran. Ini juga satu proses Kristianisasi.

Hakikatnya ulamak dan pendakwah dalam Islam terikat dengan al-Quran dan Sunnah dalam apa sahaja pandangan mereka. Berbeza dengan kedudukan Bible dalam agama Kristian yang dikesampingkan, al-Quran dan Sunnah boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja menurut disiplin ilmunya. Oleh itu mana-mana pandangan ulamak dan pendakwah boleh diukur menurut neraca peninggalan Rasulullah S.A.W. itu.

Dari satu sudut yang lain, sentimen taksub melampau terhadap guru dan syeikh sehingga membelakangkan panduan al-Quran dan Sunnah juga merupakan salah satu gaya meng”kristian”kan ajaran Islam. Ia menyamai pendekatan dan pegangan masyarakat Kristian Eropah di zaman kegelapan dahulu, yang mempertuhankan gereja dan paderi.

Pendekatan dakwah yang hanya menekankan aspek kasih sayang, tanpa rasa benci kepada kekufuran juga adalah salah satu pengaruh Kristianisasi yang digunapakai tanpa sedar. Islam mengajar dan menanam rasa kasih sayang kepada kebaikan dan keimanan sambil membenih rasa benci kepada kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan, seperti firman Allah dalam ayat ketujuh daripada Surah al-Hujurat.

Melayu itu bangsa dan Islam itu agama. Tiada kekeliruan bahawa seseorang itu diukur kemuliaannya berdasarkan agama Islam dan ketakwaannya kepada Allah S.W.T.. Bagaimanapun reaksi mahu memisahkan identiti Melayu daripada Islam dan memisahkan identiti Islam daripada Melayu di Tanah Melayu merupakan strategi Kristianisasi (memisahkan antara bangsa dan agama) yang berjaya dijalankan ke atas bangsa-bangsa di Eropah dan diaspora Cina. Itulah strategi yang mahu dilaksanakan di Malaysia, melalui lidah mubaligh mereka sendiri mahupun lidah muslim yang naif.

Jika kita kenal agama dan bangsa kita, kita akan kenal diri kita. Dalamilah ilmu agama, kenalilah diri sendiri. Apabila sudah kenal diri, senanglah membezakan identiti musuh. Jika tidak, kita akan mudah menjadi mangsa Kristianisasi, walaupun mungkin kita begitu lantang melaungkan “Hidup Melayu”, walaupun mungkin kitalah juara berdemo dengan teriakan “Allahu akbar”.

 

 

Ustaz Haji Mohd Hazizi Bin Ab Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *