Lang Merah Tampil Kemas, Pamer Keyakinan Benam Juara Bertahan.

Jitra 30 Ogos – 2 gol menarik jaringan Ishak dan Arif memastikan kemenangan pasukan Lang Merah FC dua gol berbalas satu dalam perlawanan persahabatan semalam menentang Half Star FC di Padang Institut Latihan Perindustrian, Jitra menjelang Piala Presiden Isma September nanti.

Lang Merah tampil menunjukkan permainan yang kemas dan teratur sejak dari awal permainan, memberi kesukaran kepada pihak lawan untuk mengasak, sebaliknya, acap kali kubu lawan ditembusi dengan hantaran pintas yang berbahaya, hanya ketumpulan penyudah sahaja yang masih perlu diasah.

“Setelah mengalami beberapa kekalahan sebelum ini, kami merombak semula taktikal pasukan dan memberi penekanan kepada perkara asas seperti menahan dan membuat hantaran mudah kepada rakan, hasilnya, pemain kita hari ini dapat mengawal permainan dengan tenang dan tidak lagi kelam kabut seperti sebelum ini,” kata pengurus En. Hasbi Ibrahim selepas perlawanan tamat.

“Cuma, ketumpulan penyudah sahaja yang perlu diberi perhatian selepas ini, kami yakin jika aspek ini dapat diperbaiki, kami akan dapat memberi cabaran sengit kepada pasukan-pasukan lain dalam Piala Presiden nanti, terutama juara bertahan Isma Selangor yang berada dalam satu kumpulan,” tambahnya lagi.

Kemenangan terbaru ini memberi tonik tambahan buat pasukan Lang Merah yang akan bercuti beberapa hari sempena hari raya Aidil Adha sebelum menyambung latihan kembali selepas itu.

Mohd Hisham Mohd Sharif
Wartawan Isma Kubang Pasu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *