Larangan dekati zina jelas dalam al-Quran

Say no to zina

Oleh Aimannur Najihah Bt Mat Rani

KOTA SAMARAHAN, 6 Mei – “Allah telah jelas menyatakan dalam Al-Quran bahawa kita sesekali tidak boleh mendekati zina. Oleh itu, jalan-jalan yang boleh mendekatkan kita kepada zina juga perlu dijauhi,” kata Dayang Nurhasyimah, Setiausaha Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Samarahan ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Katakan Tidak Pada Zina’ di SMK Wira Penrissen, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa perbuatan ringan yang menghampiri zina apabila ianya dilakukan kepada bukan mahram. Contohnya pandang, senyum, memberi salam, bersembang, temujanji, berjumpa dengan orang bukan mahram  dan akhirnya boleh terjebak kepada zina.

Di samping itu, Dayang Nurhasyimah turut memberi tips-tips untuk mengelakkan diri dari terjebak dengan zina antaranya melakukan taubat nasuha, solat lima waktu dan bersahabat dengan orang yang baik.

“Sebelum mengikuti program ini, saya kurang mengetahui betapa kroniknya kesan-kesan daripada perbuatan zina. Ia bukan sahaja merosakkan remaja itu sendiri, malah ia boleh juga mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk memandang serong pada diri dan keluarga kita,” kata Umi Syuhadah, 15.

Program yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 hingga 3 ini telah dihadiri seramai 124 pelajar dan 4 orang guru pengiring. Program ini bertujuan untuk memberi penerangan tentang bahayanya zina kepada remaja di samping untuk memperkenalkan KRIM kepada peserta dan sekolah.