Laungan azan dan sebuah harapan

Surau cukup sunyi petang itu. Tidak ada seorang pun yang hadir meskipun waktu Asar sudah menjengah masuk. Dari ruang belakang surau, mataku tertumpu kepada mikrofon yang tegak bertiang di ruang mihrab surau.

Ah! Lama sungguh aku tidak melaungkan azan. Jangankan azan,telapak kakiku ini seolah-olah sudah lupa akan lembutnya permaidani yang dibentangkan di surau buat para jemaah. Laungan azan si bilal yang menyerbu masuk ke ruang bilikku melalui segenap penjuru selama ini seolah -olah terlalu tumpul untuk masuk ke dalam telingaku. Apatah lagi ke dalam hati.

Petang itu, aku terperosok di ruang surau yang sunyi ini. Gigil tanganku belum berhenti. Debar jantungku masih laju mengepam darah ke setiap inci tubuhku membuatkan aku tidak senang duduk. Slip peperiksaan semester satu masih di tangan. Sejak tengahari tadi slip tersebut kubuka dan kulipat kembali beberapa kali.

1.25! CGPAku untuk semester ini. Beserta status amaran dan percubaan! Gagal teruk dalam semester pertama pengajianku di universiti. Aku bukan begini. Aku cemerlang dalam SPM. Memperoleh pangkat satu dalam aliran sains kejuruteraan waktu itu sudah cukup membanggakan. Tiga tawaran kemasukan ke universiti aku terima dan akhirnya aku memilih IPT yaang menjadi pilihan pertama dalam borang UPU waktu itu.

Ya, cukup cemerlang.

Namun aku memulakan langkahku pada semester satu ini dengan langkah sumbang. Sudah pandai melarikan diri dari kuliah. Sering sahaja terlepas kelas dek kerana terlajak tidur. Masakan tidak. Melepak di kedai mamak, berkonvoi dan berlumba motosikal sehingga jam tiga empat pagi, mana mungkin aku mampu bangun di awal pagi keesokan harinya.

Kehidupan sebagai budak ‘U’ benar-benar memberikan aku kebebasan yang luar biasa. Tanpa kawalan ibu-bapa atau sesiapa sahaja di sekitarku. Aku bebas melakukan apa sahaja.

Aku sudah pandai berdating. Ke hulu ke hilir bersama rakan-rakan wanita. Kadang kala berbual-bual berduaan sehingga larut malam di taman-taman atau di mana-mana ceruk di kolej. Sudah pandai berjinak-jinak dengan mesin kuda. Hampir sahaja habis duit pinjaman pelajaranku, aku sumbangkan kepada kedai-kedai mesin kuda yang bertebaran di sekitar universiti tempat aku belajar.

Ya, aku cukup bebas waktu itu. Daripada seorang anak yang hidupnya di bawah ketiak ibu-bapanya dengan disiplin anggota polis, aku cukup merdeka kini.

Dan tengahari itu aku akhirnya menerima natijah daripada kebebasanku. Aku benar-benar buntu. Tidak seorangpun rakan mesin kuda atau rakan rempitku yang dapat aku hubungi. Aku melarikan diri daripada rakan-rakan wanitaku kerana malu yang amat sangat dengan keputusan semesterku.

Aku sudah membayangkan betapa kecewanya wajah ayah dan ibuku sekiranya perkara ini sampai ke pengetahuan mereka. Aku sudah tidak ada jalan. Waktu itu kebebasan yang sebelum ini seperti syurga bertukar menjadi jeriji-jeriji yang memerangkap mindaku daripada berfikir apa yang perlu dilakukan selepas ini. Dadaku terasa betul-betul sesak. Berombak-ombak kerana menahan sendu dan air mata yang ingin mengalir keluar.

Aku gagahkan diri untuk bangun. Melangkah ke ruang mihrab surau lalu memetik suis mikrofon. Aku hadapkan wajahku betul-betul ke arah kiblat dengan muncung mikrofon di hadapan bibirku. Menarik nafas sedalam-dalamnya untuk menenggelamkan rasa sebak dan sendu di dadaku.

Lalu aku laungkan azan seperti yang pernah aku buat sebelum ini. Dalam setiap bait azan itu aku benar-benar merayu kepada Allah.

“Ya Allah,aku sudah putus ikhtiar Ya Allah. Aku sudah tidak ada jalan. Aku buntu. Aku dah tak tahu nak buat macam mana lagi dah. Tolong Ya Allah.”

Aku benar-benar tenggelam dalam laungan azan yang meluncur daripada bibirku. Pada waktu itu aku sedar bahawa aku tidak punya tempat lain untuk bergantung, melainkan Dia. Dan entah bagaimana meskipun satu demi satu kesalahanku melintas di ruang fikiranku, aku masih yakin bahawa Allah akan membantuku. Aku yakin bahawa tuhan itu mengikut sangkaan hambaNya.

Aku menadah tangan berdoa selepas selesai azan. Menyapu wajahku dengan kedua belah tapak tangan. Namun sebak dan sendu penyesalan kembali menyesak dada. Aku merasakan air mataku ketika itu bertakung di kelopak mata. Menunggu saat dan waktu untuk jatuh.

Aku berpaling dari mihrab untuk kembali ke ruang belakang surau. Menanti jemaah untuk solat. Saat aku berpaling itu berdiri di hadapanku seorang jemaah yang menghulurkan salamnya kepadaku. Sambil tersenyum berjabat tangan denganku.

“Nobi,” sapanya memperkenalkan diri.

Seorang senior yang bermula pada hari itu menjadi sahabatku. Beliau dan beberapa orang lagi abang-abang dan kakak-kakak senior yang selepas itu menjadi rakan -rakan yang kembali memberikan tongkat kepada aku untuk tegak berdiri. Dan melangkah sedikit demi sedikit untuk kembali ke atas landasan yang benar. Kembali yakin untuk mengejar cita-cita dan harapan.

Mereka berkorban sepertimana berkorbannya abang dan kakak kandung untukku. Tidak ada balasan yang ditagih daripadaku melainkan lafaz syukur setelah melihat aku kembali berdiri. Melihat kesungguhan mereka membuatkan aku jatuh cinta dengan apa yang mereka lakukan. Dan sehingga hari ini aku bersama-sama rakan-rakanku di dalam KRIM dan PEMBINA meneruskan warisan mereka.

Membimbing dan memimpin adik-adik yang baharu mengenal dunia bebas di IPT-IPT agar mereka tidak masuk ke perangkap yang sama sepertiku. Menjadi tangan-tangan yang sedia memimpin mereka untuk menempuh cabaran hidup di IPT. Membantu mereka untuk bangkit dan kembali melangkah meski diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Buat adik-adikku yang baharu menempatkan diri di IPT ingatlah, di sini tempat untuk kau diuji. Tempat kau memilih untuk menjadi bintang atau tenggelam dalam ombak kebebasan yang melemaskan.

Tempat memilih kawan samada si penjual minyak wangi atau mereka yang menempa besi. Tempat untuk kau mengangkat darjat sebagai mahasiswa atau hidup menghina diri seperti binatang ternak. Berhati-hatilah memilih. Jangan rebah disangka sokong. Jangan iblis disangka dewa.

Kalian harapan, kalianlah impian. Meneraju pusaka bangsa merdeka. Dengan kesedaran ini aku dan rakan-rakan dalam KRIM dan PEMBINA bersama kalian melangkah gagah menempuh cabaran hidup dalam suasana baru di pentas tertinggi budaya ilmu.

Dengan jiwa dan himmah yang tinggi, aku yakin kalianlah yang bakal mencorak masyarakat masa hadapan, menjadi peneraju arus mahasiswa. Inilah impianku buat kalian. Semoga diperkenankan tuhan empunya kuasa.

Asmadi Abdul Samad
Pengarah KRIM Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *