Lawatan Rasmi Isma Australia ke Pejabat MARA Australia

SYDNEY, 22 Zulkaedah 1438H – Ikatan Muslimin Malaysia – Australia telah mengadakan satu lawatan rasmi ke Pejabat MARA Australia & New Zealand di Sydney, Australia. Isma Australia diwakili oleh 5 orang wakil yang diketuai oleh Encik Anuar Azemi, selaku Pengerusi Isma Australia. Turut terlibat ialah Encik Amiruddin selaku Timbalan Pengerusi dan selebihnya adalah ahli-ahli Jawatankuasa Negeri (JKN) Isma New South Wales yang juga disertai oleh ketuanya, Encik Imran Harith.

Pertemuan tersebut bertujuan untuk mengetengahkan dan berbincang berkenaan isu-isu serta perkembangan semasa mahasiswa di Australia. Tujuan lain pertemuan tersebuat ialah untuk berkenalan dengan Pengarah MARA Australia & New Zealand yang baru, iaitu Encik Ahmad Zuriat Bin Ahmad Tejuddin selain mengeratkan hubungan antara Isma Australia dan MARA Australia yang telah terjalin rapat sejak beberapa tahun yang lalu. Lawatan rasmi ke Pejabat MARA sudahpun menjadi agenda tahunan Isma Australia sejak beberapa tahun yang lalu.

Pihak Isma Australia sudah sekian  lama bekerjasama dan bersama-sama pihak MARA terutamanya dalam hal ehwal kebajikan mahasiswa dan berharap agar kerjasama yang sudah lama terjalin itu kekal kukuh. Kerjasama yang paling besar dan penting ialah pengurusan dan bantuan kepada pelajar-pelajar yang baru sampai ke Australia pada setiap tahun, khususnya pada musim pengambilan pelajar baru. Isma Australia bertekad untuk terus menyokong dan konsisten memberikan bantuan seumpama ini demi kebajikan dan kecemerlangan mahasiswa di Australia.

Pertemuan tersebut berlangsung pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada jam 1.30 tengah hari. Antara perkara yang menjadi agenda utama perbincangan ialah kebajikan, akademik dan sosial mahasiswa terutamanya mahasiswa di bawah tajaan MARA. Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi makan tengah hari dan penyampaian cenderamata dengan harapan agar lebih banyak kerjasama dapat dilakukan demi kepentingan dan kecemerlangan anak bangsa, insya Allah.

Imran Harith Bin Azmy
Ketua Penerangan Isma Australia
Merangkap Ketua Jawatankuasa Negeri (JKN) New South Wales

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *