LEBIH 100 REMAJA JADI IMAM MUDA!

Batu Muda, 11 Februari 2018- Kem Imam Muda yang telah berlangsung selama 2 hari 1 malam sejak Jumaat yang lalu di Masjid Saidina Hamzah Batu Muda telah mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah peserta seramai 120 orang yang terdiri dalam kalangan pengawas Islam sekolah (imam-imamah muda) dan ahli Persatuan Agama Islam tingkatan 1 hingga 5.

Kem berkonsepkan kepimpinan islam ini telah dianjurkan oleh kerjasama Kelab Remaja ISMA (KRIM) Gombak dengan pihak panitia agama Islam sekolah SMK Batu Muda dan SMK Sentul Utama.

“Tujuan Kem Imam Muda ini dilaksanakan adalah bagi mengembalikan semula sifat rijal (pemuda) yang berani, bersemangat, dan tegas dalam mendirikan syiar Islam tidak kira dalam situasi apa dan di mana sahaja mereka berada” kata encik Muhammad Hasif bin Md Zakaria selaku pengarah program Kem Imam Muda 2018.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan bagi menjayakan objektif Kem Muda ini, antaranya slot ‘Anda Muslim Yang Hebat’ dan ‘Pencetus Ummah’ yang menekankan peranan remaja Islam kini dalam menjadi pemimpin Islam yang berani dan pemuda yang mampu menggoncangkan dunia persis tokoh-tokoh Islam terdahulu.

Menarik dalam Kem Imam Muda ini, kesemua peserta telah diuji menjadi imam solat-solat sunat dan diperiksa bacaan Qur’an mereka ketika slot Qiyammulail yang dilaksanakan dalam kumpulan masing-masing seawal jam 4.30 pagi Sabtu hingga waktu subuh di setiap penjuru ruang solat masjid tersebut.

Menurut ketua panitia agama Islam SMK Batu Muda juga selaku penganjur bersama program, Puan Maimun Harun, Kem Imam Muda tahun ini adalah julung-julung kali diadakan kepada imam-imamah muda sekolah tersebut dan berharap supaya lebih banyak program sebegini dapat dijalankan. Beliau juga menanam harapan supaya Kem Imam Muda dapat diteruskan pada tahun-tahun hadapan.

 

Oleh:
Hanan Humaira bt Rozali
Aktivis
Kelab Remaja ISMA Gombak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *