Lebih baik fokus pada isu diskrimnasi dalam negara berbanding isu Rohingya?

photo_2016-12-10_12-34-16

Beberapa rakan FB non-muslim berkongsi artikel daripada TMMO berkenaan ulasan Maina Kiai, aktivis Kenya serta perwakilan United Nation yang mengatakan;

“Same amount of concern for issues domestic and international. Not just about Rohingyas. We want Rohingyas to exercise their right, but we also want Malaysians to exercise their right”

Atau dalam pengertian mudah, Malaysia sepatutnya turut sama fokus kepada isu dalam negara berbanding isu muslim Rohingya.

Tiga poin bagi menjawab persoalan ini:

1. Konsep persaudaraan dalam islam.
2. Benarkah isu dalam negara terabai apabila isu Rohingya diberi fokus?
3. Ke mana pergi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pejuang hak asasi manusia dalam menangani isu muslim Rohingya?

KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM

Umat islam semuanya adalah bersaudara. Persaudaraan kami terbina atas dasar aqidah ‘la ila ha illallah, muhammaddarrasulullah’ (tiada tuhan melain Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah), tanpa mengira bangsa, warna kulit mahupun apa jua perbezaan latar belakang.

Di Rohingya, ibu-ibu serta anak-anak perempuan yang diperkosa dan dibunuh itu ialah ibu-ibu serta saudara-saudara perempuan kami. Anak-anak kecil yang dibakar hidup-hidup di hadapan ibu mereka adalah anak-anak kecil kami. Pendek kata, merekalah saudara kami, keluarga kami.

Analogi mudah, sekiranya suatu hari kita sedang bekerja di pejabat, tiba-tiba satu panggilan diterima mengatakan bahawa ibu kita dimasukkan ke dalam hospital, sebagai manusia normal sudah pasti fokus akan lebih diutamakan kepada keadaan ibu di hospital berbanding pekerjaan pada ketika itu.

Apatah lagi dalam alam sebenar, di mana umat islam Rohingya dibunuh, diseksa dan diperkosa saban hari, sudah pasti perhatian dan sokongan padu mesti disalurkan kepada mereka.

Bahkan bukan isu Rohingya sahaja kami sebagai umat islam berikan fokus, malah nasib saudara-saudara kami di Palestin, Syria dan di seluruh dunia juga kami berikan sokongan yang sama kerana pada hakikatnya kami semua bersaudara.

2. BENARKAH ISU DALAM NEGARA TERABAI APABILA ISU ROHINGYA DIBERI FOKUS?

Jawapan mudah, tidak. Setiap jabatan dalam kementerian, parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang, hatta badan-badan bukan kerajaan semuanya memainkan peranan masing-masing.

Ada yang fokus kepada isu dalam negara seperti kebajikan, politik, ekonomi dan sebagainya, dan ada juga yang fokus dalam menyalurkan sokongan dan bantuan kepada muslim Rohingya.

3. KE MANA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU DAN PEJUANG HAK ASASI MANUSIA DALAM MENANGANI ISU MUSLIM ROHINGYA?

Hello, Maina Kiai ni siapa? Siapa dia hendak menyatakan bahawa Malaysia sepatutnya fokus kepada isu A dan bukannya isu B?

Satu lagi, sekiranya beliau benar-benar berjuang demi keadilan dan hak asasi itu ini, mengapa tidak disalurkan perjuangan itu dalam mendesak PBB supaya menangani isu di Rohingya?

Mengapa menuntut keadilan untuk Maria Chin Abdullah yang kononnya teraniaya, tetapi diam seribu bahasa membenarkan kekejaman dan kezaliman Aung San Suu Kyi?

Beginilah strategi yang selalu digunapakai oleh so-called pejuang-pejuang hak asasi manusia, sama sahaja seperti strategi ‘sisters in islam’ dalam mengalihkan sesuatu isu kepada isu yang lain dengan alasan ‘lebih baik’.

Dalam kes ini, kata mereka, lebih baik fokus isu dalam negara berbanding isu muslim Rohingya.

‘Lebih baik’ bagi kamu, bukan bermakna ‘lebih baik’ bagi kami. Kerana bagi kami, umat islam, apa-apa yang melibatkan aqidah dan maruah umat islam itu adalah lebih baik dan perlu diberi keutamaan berbanding segala-galanya.

Akhir kalam, kepada umat islam, semoga kita dapat bersepakat dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada umat islam Rohingya. Bantulah mereka dengan sehabis daya, kirimkan doa, derma, bantuan, terus cakna dan prihatin terhadap mereka.

Sungguh, bantuan yang kita berikan adalah terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan penyeksaan yang terpaksa mereka lalui. Sedarlah umat islam, ayuh kita kembali bersatu berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.

Wallahu’alam.

(Pautan daripada TMMO : http://www.themalaymailonline.com/…/address-discrimination-…)

Oleh

Amirul Eqhwan
Aktivis PEMBINA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *