Lensa daripada Tuhan

Diskusi kami malam itu santai. Tidak seperti minggu-minggu sebelumnya yang banyak berkisar soal survival umat melayu islam di tanah air sendiri. Hidangan keropok goreng dengan air teh o panas semakin membuatkan suasana agak mesra dan libur.

“Cikgu, apa ‘planning’ sekarang?” Sapa si ustaz yang sejak dari tadi menjadi pendengar sahaja perbualan kami bertiga.

“Nak beli kamera DSLR ustaz,” jawab saya spontan.

Memang itulah antara isi perbualan saya dengan rakan-rakan sebentar tadi. Berbicara soal kamera mana yang paling baik dan bagus fungsinya. Macam macam model yang kami ceritakan. Dari yang harga seribu dua hinggalah ke harga yang menghampiri belasan ribu.

“Minat fotografi ya cikgu?” sambung sang murabbi dengan wajahnya yang sentiasa mengukir senyuman. Senyuman seorang murabbi yang tetap terukir walau sebesar mana pun masalah yang dikongsikan oleh anak buahnya. Raut wajahnya yang sentiasa tenang membuatkan kami selesa di bawah bimbingan dan tunjuk ajarnya.

“Minat juga ustaz. Tapi kosnya agak tinggi. Lagipun saya rasa kita memang memerlukannya untuk merakam gambar-gambar program yang kita anjur. Dapat jugalah membantu promosi program kita nanti,” sambung saya menguatkan hujjah yang barangkali juga tidak mahu kelihatan terlalu mementingkan kehendak peribadi.

“Bagus tu cikgu. Saya sokong. Cuma kaji betul-betul keperluannya supaya tak terbeli yang terlalu murah hingga gagal menepati fungsi dan keperluan yang kita mahu. Dan tidak terlalu mahal sehingga kelihatan terlalu bermewah -mewah dan membazir,” nasihat sang ustaz.
Begitulah sang ustaz. Sentiasa dengan nasihatnya membimbing anak buah yang masih baru berjinak -jinak dengan islam dan dakwah.

“Baik ikhwah, kebetulan kita bercerita mengenai kamera, saya juga nak kongsikan beberapa kisah mengenai kamera,” sambung si ustaz menarik perhatian kami.

Kami mengemaskan sila masing-masing. Tiada lagi keropok yang di kunyah atau teh o panas yang dihirup. Kesemua kami bersedia untuk mendengar untaian kalimat-kalimat berharga dari sang murabbi yang kami senangi ini.

“Fotografi itu sebenarnya suatu seni memanipulasikan adunan cahaya. Baik atau buruk gambar yang terhasil bergantung kepada berapa luas bukaan lensa yang dan betapa cepat ‘shutter’ ditutup. Kesemua ini mempengaruhi jumlah cahaya yaang masuk dan imej yang akan dibentuk dalam gambar. Tepat adunanya maka cantiklah gambar yang dihasilkan. Kalau tak kena caranya pasti akan ada cacat pada gambar yang terhasil. Gelaplah. Kadang -kadang gambar jadi tidak tepat dan kelabu dan macam-macam lagi kecacatan pada gambar.”

Ternganga kami mendengar mukaddimah dari si ustaz. Kami tidak sama sekali menyangka ustaz juga punya pengetahuan dalam soal fotografi.

“Ikhwah yang saya kasihi, kini saya ingin bicara soal kamera yang Allah swt beri pada setiap manusia. Berkualiti tinggi dan tiada galang gantinya. Dalam satu hadis sahih nabi sebut salah satu dari alat gantinya sahaja jauh lebih berharga berbanding amalan seorang ahli ibadat yang beribadat puluhan tahun. Punya lah mahal harga kamera ini.”

Dalam surah An Nahl ayat ke 78 Allah berfirman:
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan kamu tidak mengetahui sesuatu apapun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur.

“Inilah yang saya sebut sebagai kamera yang Allah swt beri kepada setiap manusia. Pendengaran, penglihatan dan hati. Ketiga-tiganya kita gunakan untuk menghasilkan gambaran mengenai kehidupan yang kita lalui. Kalau kamera DSLR memerlukan cahaya sebagai input utama, maka kamera yang Allah beri ini juga dapat digunakan dengan baik bila ada cahaya dari Allah. Ini yang kita gelar sebagai petunjuk dan hidayah.”

“Apabila banyak cahaya Allah masuk ke dalam hati kita maka segala apa yang kita hasilkan dari pendegaran dan penglihatan kita adalah perkara yang baik -baik dan positif. Dalam setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita, kita akan dapat mengutip mutiara-mutiara yang baik.”

“Orang-orang yang sentiasa membuka penglihatan , pendengaran dan hati mereka untuk cahaya Allah akan sentiasa berada dalam keadaan tenang. Meskipun dihujani pelbagai ujian mereka punya hati yang besar untuk menampung kesulitan yang membebani mereka. Tidak bersangka-sangka melainkan dengan perkara yang baik. Senang dengan pencapaian orang lain. Syukur dengan kedudukan diri dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri.”

“Cuma kalau di dunia kita tak pandai pakai kamera DSLR tak mengapa. Tapi awas kalau kita tak pandai menggunakan kamera yang Allah swt bagi ini, musibah untuk kita di akhirat. Dalam satu ayat Al Quran Allah sebut bahawa isi neraka itu penghuni di dalamnya terdiri daripada golongan jin dan manusia. Mereka yang Allah bagi pendengaran tapi tidak mendengar, beri penglihatan tetapi tidak mahu melihat dan beri hati tapi tidak mahu merasa. Lalu Allah samakan mereka ini dengan binatang ternak. Naudzubillahiminzalik.”

“Kadang -kadang kita gagal untuk melihat hikmah dalam setiap peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Ini kerana kita tak guna kamera yang Allah bagi pada kita betul-betul. Kita tutup lensa mata dan telinga kita hingga cahaya Allah tak masuk dalam hati kita. Bila hati gelap maka hidup kita pun akan jadi penuh dengan keluh kesah. Semua perkara yang berlaku disekeliling kita akan dilihat dari perspektif yang negatif. Mudah bersangka buruk dengan orang lain dan dengki dengan kejayaan dan pencapaian orang lain. Sentiasa mencari silap dan salah orang lain untuk dijaja.”

Ustaz kemudiannya menuang air ke dalam cawan. Dengan Bismillah beliau meneguk teh o yang sudah semakin sejuk itu perlahan -lahan.

“Syukur ikhwah, untuk kamera yang mahal ini, Allah hanya minta kita bayar dengan syukur. Maksudnya diminta agar kita sentiasa taat kepadaNya. Jaga penglihatan kita agar kita hanya melihat yang baik. Jaga telinga dari mendengar umpat dan keji. Pelihara hati kita agar tidak mudah bersangka-sangka.”

“Boleh ikhwah? Kita jaga kamera mahal kita ni? Kita keluarkan gambar-gambar yang positif sahaja dari kamera kita ni,” aju si ustaz sambil jari telunjuknya diletakkan dengan perlahan dan tertib bermula dari telinga, mata dan kemudian menekapkan telapak tangannya ke tengah-tengah dada sebagai tanda kedudukan hati.

Kami mengangguk-ngangguk mengiyakan soalan daripada si ustaz. Merenung betapa selama ini penglihatan, pendengaran dan hati ini tidak dikecap dengan sebenar-benar syukur. Seperti pertemuan-pertemuan sebelum ini, pertemuan kuliah ilmu kali ini juga sekali lagi menjadi buhul-buhul tali yang mengikat kembali hubungan fitrah sang hamba dengan pencipta. Menjadi peringatan kepada kami yang dangkal ilmu akhirat ini agar sentiasa melihat segala hal yang berlaku disekeliling sebagai petanda dari Allah yang sentiasa ingin menyuluh hati hamba-hambaNya dengan cahaya hidayah.

Asmadi Abdul Samad
Pengarah KRIM Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *