Liga Komuniti ISMA Kota Bharu 2018 Selesai

KOTA BHARU, 25 Nov – Liga Komuniti ISMA Kota Bharu (LKIKB) 2018 melabuhkan tirai dengan jayanya setelah 7 minggu berlangsung dengan penglibatan daripada 24 pasukan seluruh negeri Kelantan.

Perlawanan akhir antara skuad MVR FC dan Tualang FC menampilkan persaingan sengit seawal sepak mula. Kehadiran penyokong yang ramai daripada kedua-dua pasukan menambah kemeriahan perlawanan ini. 

Skuad MVR FC berjaya menafikan kemenangan Tualang FC sekaligus menobatkannya sebagai juara LKIKB musim pertama. Atas berkat kesungguhan dan kegigihan, MVR FC berhasil menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua membenam Tualang FC 1-0.

Perlawanan ini disaksikan oleh YDP ISMA KB Ustaz Abdul Rahman Iskandar selaku penaja utama kejohanan. “Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan MVR FC yang menjadi juara Liga ISMA KB musim pertama. Ribuan terima kasih kepada kesemua 24 pasukan yang sudi menyertai kejohanan ini. Semoga berjumpa lagi dalam kejohanan musim akan datang.” ujar YDP ISMA KB.

Encik Malek Raduan selaku Ketua Penganjur dan Ketua Pemuda ISMA KB berkata, “Pihak penganjur juga berharap dapat memperbaiki segala kekurangan dan membuat penambahbaikan untuk penganjuran liga ini pada musim yang akan datang. Matlamat utama kami mengadakan LKIKB ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat muda yang baru berentap bersama dengan pemain-pemain yang berpengalaman agar lahir bakat-bakat yang terpendam,” katanya. 

Di samping itu, ukhuwwah sesama pemain, jurulatih, pengadil dan penganjur turut diharap dapat terjalin melalui aktiviti hebat seperti ini. LKIKB turut menekankan konsep patuh syariah di kalangan para pemain menjadikannya bukan sahaja liga jasadi, tetapi juga ukhrawi.

Majlis penyampaian medal, hadiah dan trofi kepada para pemenang disempurnakan oleh YDP ISMA Kota Bharu. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *