Lima senjata musuh yang perlu dijauhi pelajar ke luar negara

Oleh: Wannor Hanisah binti M Tajudin

BANGI, 20 Januari 2019 – Pemuda dan pemudi perlu bijak dalam membawa diri lebih-lebih lagi ketika melanjutkan pelajaran di luar negara. Lima senjata utama musuh yang dikenali sebagai 5S, hendaklah dijauhi iaitu social media, songs (hiburan melampau), sex (seks bebas), stimulant (arak dan dadah) serta sports (tidak menjaga batas pergaulan).

Prof Dr Zainur Rashid bin Zainuddin selaku wakil jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah dijemput untuk menyampaikan amanat sekali gus merasmikan upacara penutup program hari ini. Dalam ucapannya, beliau menerangkan pelajar harapan negara haruslah menguasai empat aspek berikut iaitu cemerlang akademik, bersahsiah mulia, memiliki kemahiran insaniah serta hidup dengan beragenda.

“Ciri-ciri pemuda hebat adalah yang hidupnya basathoh (sederhana), solat secara berjemaah, tidak tinggal bertilawah al-Quran, taat kepada Allah dan Rasul, juga berakhlak baik. Jangan lupa untuk menjaga iman walau di mana pun kita berada”, pesan beliau.

Beliau berucap dalam majlis penutup Tsubasa Annyeong, sebuah program pra perlepasan buat para pelajar yang akan ke Jepun dan Korea. Program yang bermula pada Jumaat, 18 Januari baru-baru ini telah disertai oleh pelajar-pelajar daripada beberapa kolej persediaan sekitar lembah Klang dan graduan-graduan universiti dari Jepun dan Korea.

Program yang bertemakan “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” kali ini telah membawa suatu kelainan yang tidak ada pada tahun-tahun sebelumnya iaitu para peserta dibawa menjelajah sekitar Bandar Melaka disertakan beberapa aktiviti yang menyeronokkan.

Para peserta juga ditugaskan untuk berinteraksi dengan orang awam sambil membuat video berkonsepkan travelog sepanjang di Melaka. Malah, terdapat permintaan daripada peserta yang mengharapkan agar slot santai bersama alumni dipanjangkan kerana tidak puas bertanyakan soalan dan mendengar pengalaman alumni-alumni sepanjang tinggal di Korea dan Jepun.

“Mulanya saya sangka program ini berkonsepkan islamik yang biasa saya pergi sebelum ini. Rupanya ia bukan seperti yang saya jangkakan. Program Tsubasa Annyeong memang sangat menyeronokkan ditambah dengan alumni yang peramah.  Banyak pengalaman dan ilmu berguna yang saya peroleh daripada program ini yang saya dapat jadikan bekalan untuk ke Jepun nanti. Insha Allah saya akan sertai lagi program-program ISMA di Jepun nanti”, komen balas daripada salah seorang peserta.

Sekalung tahniah buat Biro Luar Negara, khususnya semua jawatankuasa program dan kumpulan alumni pelajar Jepun dan Korea (HANA) atas penganjuran Tsubasa Annyeong 2019. Semoga program bermanfaat ini dapat diteruskan lagi tahun hadapan agar dapat mempersiap lebih ramai pelajar dalam pelbagai aspek sebagai duta Muslim Malaysia ke luar negara.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *