Majlis Hari Raya ISMA Kota Bharu Dapat Sambutan Hangat

KOTA BHARU 8 Julai – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kota Bharu di sini semalam meriah dengan kehadiran mencecah 400 orang.

  

Majlis yang berlangsung dari jam 8.00 hingga 11.00 malam turut dihadiri oleh beberapa orang tetamu kenamaan, wakil-wakil imam masjid, pasukan bola IKFC serta orang ramai.

Yang Dipertua ISMA Cawangan Kota Bharu merangkap Pengurus Yayasan Ikhlas Kelantan Ustaz Abdul Rahman Iskandar (alrais) berkata, sambutan tersebut diadakan setiap tahun bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan ukhuwwah islamiah di kalangan ahli ISMA, sukarelawan, NGO dan masyarakat. Inilah kesempatan yang baik untuk saling melupakan perselisihan dan persengketaan seterusnya mengukuhkan at-taawun untuk kepentingan ummah.

Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai juadah raya seperti nasi minyak, spaghetti, mee goreng panas, nasi himpit, sate, ketupat, ais krim dan kuih muih.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan puisi dan sajak dari wakil Aman Palestin Kota Bharu, persembahan nasyid solo dan juga nasyid berkumpulan dari Rumah Kebajikan ar-Rahman.

Turut berkongsi gembira apabila kanak-kanak bawah 15 tahun menerima sumbangan sampul raya dari Biro Kebajikan Masyarakat ISMA.

Manakala anak yatim dari rumah Kebajikan ar-Rahman menerima sampul raya dari Yayasan Ikhlas.

Tidak dilupakan mangsa kebakaran yang memusnahkan kediaman keluarga Suhaila turut menerima sumbangan dari Yayasan Ikhlas dan Wanita ISMA Kota Bharu.

Sempena ulang tahun ke 20 ISMA, majlis memberikan cenderahati kepada pasangan pengantin baru ahli ISMA, Nik Muhammad Suhaimi dan Nur Insyirah yang melangsungkan perkahwinan pada 07.07.

YDP turut mengambil kesempatan melancarkan penubuhan Biro Pemuda ISMA Kota Bharu.

“Kita berharap agar program yang bermanfaat ini akan diadakan setiap tahun pada masa akan datang,” tambah Ustaz Abdul Rahman.

Syabas kepada Dr Syah Musafir selaku Pengarah Haflah Raya 2017 dan semua urusetia yang menjayakan program. Selamat Hari Raya Eidulfitri, Taqabbalallahu minna wa minkum.

Video ringkasan majlis

https://youtu.be/ssWxZoNGh8A

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *