Malam Srikandi Isma Australia Semarakkan Semangat Patriotisme, Berhibur Santai Islami

ADELAIDE, 26 Zulkaedah 1438 – Satu malam istimewa telah dianjurkan oleh pihak Beliawanis Isma Australia buat mahasiswi Malaysia di Adelaide bersempena Bulan Kemerdekaan dan kemuncak kempen Muliamu Wanita Kerana Islam (MUWIS). Bertemakan “Wanita Syurga Bidadari Dunia”, program yang bertujuan menanam perasaan bangga terhadap agama, bangsa dan negara telah dihadiri seramai 76 orang tetamu.

Saudari Anis Amelia Binti Isa yang juga merupakan Ketua Beliawanis Isma South Australia menyatakan malam srikandi ini merupakan malam perjuangan sambil berhibur mengikut tatacara Islam. Selain itu, beliau juga menyeru agar semua mahasiswi mencari erti sebenar pemudi yang benar-benar merdeka kerana menyedari di saat ini ramai anak muda salah faham tentang konsep bebas dan merdeka apabila kebanyakannya melibatkan diri dalam gejala-gejala sosial dan melakukan sesuatu yang melanggari perintah Allah swt.

Antara aktiviti yang telah berlangsung pada malam tersebut ialah persembahan alat muzik, deklamasi sajak dan pantun, nyanyian nasyid perjuangan, gimik kemerdekaan, tayangan video montaj pejuang, sesi perkongsian oleh Timbalan Biro Tarbiyah Isma South Australia iaitu Puan Khadijah Abdul Rahman, pameran srikandi-srikandi Islam dan Melayu, cabutan bertuah, dan hidangan makan malam istimewa oleh Chef Afifi Bakri.


Semoga program ini dapat memberi contoh kepada semua mahasisiwi yang lain untuk berhibur dan bersantai mengikut kerangka yang dibolehkan syarak. Diharapkan juga agar semua terus berusaha melakukan sesuatu bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara yang tercinta daripada terus dijajah oleh musuh serta ukhuwwah yang terbina berpanjangan, insyaAllah.

Anis Amelia Isa
Ketua Beliawanis Isma South Australia

 



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *