Malang tidak berbau, ibu bapa awasi anak kecilmu!

Kehadiran anak kecil di rumah sememangnya menambah seri dan keceriaan dalam keluarga. Kepenatan menyelesaikan tugasan di luar rumah boleh hilang sejurus menatap wajah anak kecil dan meluangkan masa dengan mereka. Sememangnya ia antara nikmat berharga yang dikurniakan Allah S.W.T kepada anak Adam untuk disyukuri dan dihargai. Tidak hairanlah, Rasulullah S.A.W sendiri sangat gembira dengan kehadiran Hassan dan Hussain Radiyallahhu’anhuma, sehingga Baginda pernah memanjangkan sujudnya semata-mata memberi peluang cucunya turun dari belakang badannya yang mulia, malah Baginda S.A.W pernah bersabda;

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: }}هُمَا رَيْحَانَتَايَ [مِنْ الدُّنْيَا{{

“Mereka berdua (Hasan dan Hussain) merupakan harumanku di dunia”

Namun, akhir-akhir ini, banyak pula peristiwa sedih dan menyayat hati yang viral di media-media sosial yang menimpa anak-anak kecil ini. Peristiwa tertelan keronsang yang dialami oleh adik Naufal berusia 10 bulan, ketika didukung ibunya sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pembedahan bukanlah kemalangan pertama yang dihadapi anak kecil seusianya. Tercucuk garpu akibat terjatuh ketika berlari, lemas akibat ditinggalkan terkunci dalam kereta, lemas dalam baldi, meninggal dunia akibat tersedak susu dan pelbagai lagi kemalangan yang cemas dan menyayat hati yang sampai ke telinga kita.

Sebagai ibu bapa, tentunya kita amat bimbang sekiranya kemalangan seumpama ini terjadi, kerana itu aspek keselamatan anak-anak samada di rumah mahupun di luar rumah sangat perlu diberi perhatian.

Antara fitrah anak kecil sekitar usia 4 bulan sehingga setahun ialah meniarap, mengengsot, merangkak, berdiri dan bertatih. Di usia itu, mereka juga amat gemar mengutip apa sahaja yang ada di sekeliling mereka dan memasukkannya ke mulut. Tentulah tidak adil untuk kita menghalang mereka dari melalui proses-proses ini kerana bimbang mereka terjatuh atau bahaya lain, kerana inilah pengalaman-pengalaman berharga yang perlu mereka kutip untuk proses belajar dan kendiri yang seterusnya.

Namun, kita mampu mengurangkan risiko bahaya dengan mempraktikkan beberapa tips keselamatan di rumah dan luar rumah, saya titipkan beberapa tips mudah namun tidak boleh diambil mudah, antaranya:

  • Pastikan ruang dan persekitaran tempat mereka bergerak kering, sekata, dan tidak berbahaya.
  • Pastikan apa sahaja yang mereka pegang atau capai tidak berbahaya kepada mereka. Pastikan tiada serangga, mahupun benda-benda kecil seperti bateri, wang syiling, pin, keronsang dan seumpamanya berselerakan di lantai.
  • Ajar anak-anak yang lebih besar untuk selalu mengemas semua peralatan mereka samada alat tulis mahupun permainan setelah selesai menggunakannya. Kadangkala, bukan hanya gunting, malah pensil dan pembaris kayu juga boleh jadi berbahaya untuk anak kecil.
  • Simpan ubat-ubatan, peluntur toksik atau sebarang cecair yang beracun di tempat yang selamat, tinggi dan tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak.
  • Pastikan peralatan tajam seperti pisau dan seumpamanya tersimpan rapi jauh dari capaian kanak-kanak. Dalam satu hadith juga terdapat larangan berjenaka menggunakan senjata mahupun alatan tajam.
  • Cabutkan peralatan elektrik mahupun pengecas telefon dari soket apabila ia tidak digunakan lagi.
  • Elakkan alas meja atau lapik yang berjuntaian yang boleh dicapai oleh anak kecil, kerana mereka mungkin menariknya dan menyebabkan apa sahaja yang berada di atasnya menimpa mereka.
  • Pastikan tiada air yang bertakung dalam besen dan baldi serta pastikan tandas dan bilik air sentiasa dikunci dari luar apabila tidak digunakan.
  • Mungkin satu lagi tips yang perlu ditambah, elakkan fesyen tudung yang menggunakan pin dan keronsang ketika keluar bersama anak kecil.

Antara tips keselamatan di luar rumah pula adalah:

  • Membaca dan mengamalkan doa keluar dan masuk rumah, moga dipelihara oleh Allah s.w.t di mana sahaja kita berada.
  • Jangan tinggalkan bayi kecil berseorangan di dalam kereta dengan enjin yang masih hidup walaupun seketika.
  • Gunakan carseat atau kerusi keselamatan dan tali pinggang keselamatan untuk anak yang lebih besar.
  • Berbincang dengan teliti sebelum memilih pusat asuhan atau khidmat pengasuh untuk menjaga dan mengawasi anak sepanjang ketiadaan anda semasa keluar bekerja. Mintalah pandangan dari jiran, atau mereka yang anda percayai dan ada kaitan atau pengetahuan tentang siapa yang anda pilih untuk jagakan bayi kecil anda. Antara perkara yang selalu saya ambilkira dalam memilih pengasuh ialah dari keluarga yang mengambil berat tentang solat dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan, penyayang dan sukakan kanak-kanak dan tidak mengasuh terlalu ramai kanak-kanak kecil pada satu masa. Sekiranya pusat asuhan atau taska juga, pastikan yang mementingkan nilai-nilai Islam, mempunyai lesen serta mengambil berat aspek keselamatan dengan menghadkan seorang staf untuk dua atau tiga orang kanak-kanak sahaja.

Semoga Allah s.w.t memelihara kita semua dari musibah yang tidak diingini.

 

Ustazah Mardhiyyah Zamani

Timbalan Ketua Wanita ISMA Kuantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *