Mamak bukan tuhan

Hujan pagi hari ini benar-benar membuatkan suasana menjadi begitu damai. Saya memilih meja di penjuru luar sebuah kedai mamak. Menghirup teh-0 panas sambil memerhatikan kereta dan motosikal yang lalu-lalang di hadapan kedai. Mee goreng Mamak yang menyelerakan dengan hiasan hijau sayur sawi saya suapkan perlahan-lahan sempena mengambil mood tenang dan santai hujan pagi hari ini.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena rasa pedas dan panas memenuhi rongga mulut yang dipenuhi suapan mee goreng. Begitu pijar dan mencucuk-cucuk hinggakan terasa kembang dan panas merayap dan menjalar hingga ke bahagian pipi sampailah ke telinga. Terus hilang mood santai dan tenang.

Sah. Ini tidak lain dan tidak bukan mesti kerja sang cili api yang menyelinap di balik hijaunya sang sawi. Hati jadi panas. Teh O saya hirup dengan pantas. Serta merta lidah seolah-olah menjadi kebas dan panas. Melecur. Meleleh keluar si air mata. Barangkali tindakan refleks menyejukkan bebola mata yang turut terkesan.

Tegak saya duduk di kerusi dengan rasa pedas dan lidah yang kebas melecur. Memerhatikan si mamak penggoreng mee dengan rasa jengkel di dalam hati. Dah pesan tak nak pedas pun dibubuhnya cili api. Bebal! Marahku di dalam hati.

Perlahan-perlahan teh o saya hirup lagi. Kali ini rasa manis teh o telah mengurangkan rasa pedas di dalam mulut. Mee goreng yang berbaki saya kuis dengan berhati-hati. Mengasingkan beberapa ulas cili api yang kelihatan seperti sawi. Sehingga akhirnya mee goreng itu saya nimmati hingga ke jaluran mee yang terakhir.

Saya bersila panggung sambil menikmati Teh O yang berbaki. Terpandang sepasang suami isteri bersebelahan meja saya. Duduk memerhatikan sang hujan yang masih enggan reda. Saya melemparkan senyum dan mempelawa mereka minum.

Dengan sopan si suami membalas, “takpe bang terima kasih. Sekejap je ni. Menunggu hujan sidang gerak pergi kerja.”
“Ofis kat mana?”tanyaku apabila melihat si suami yang agak peramah.
“KL bang.”
“Hui…boleh tahan. Naik moto?” balas saya terkejut.
“Haha, dah biasa bang. Jalan pelan-pelan. Drop isteri kat Damansara lepas tu saya terus ke Batu Caves.”

Saya sekadar mengangguk-angguk dan cuba memahami. Sambil jari bermain-main dengan garfu di dalam pinggan mee goreng yang masih belum diangkat. Menguis-nguis cili api yang tadinya dilonggokkan di tepi pinggan.
Cili api yang tadinya menjadi halangan dan cabaran dalam perjalanan menghabiskan sepinggan mee goreng mamak.

Rupa-rupanya hidup ini begitu. Sentiasa ada cabaran dan ujiannya. Ada kala kita menjangkakan semuanya akan berjalan dengan baik. Tapi rupa-rupanya tidak. Ada kalanya tergigit cabaran dan ujian yang pada awalnya kelihatan seperti sawi hijau di balik jaluran mee goreng yang menyelerakan. Sudah tergigit baru tahu rupa-rupanya ia si cili api.

Gopohnya sang hamba juga kadang-kadang mengharapkan agar segera ada solusi dan jalan keluar pantas. Tanpa disedari jalannya sudah ada tetapi kerana kegopohan dan sikap cepat putus asa menyebabkan kita cepat mengalah. Gopoh menghirup teh o panas dan berhenti minum selepas lidah melecur pasti tidak kan menghilangkan terus pedas di mulut. Gopoh dalam mengambil tindakan dan berhenti berikhtiar juga tidak akan dapat menyelesaikan masalah hidup kita.

Lebih parah lagi apabila kita mula menyalahkan tuhan atas semua yang berlaku tanpa kita sedar hikmah dan rahsia di sebalik sesuatu ujian dan cabaran yang kita hadapi. Menyalahkan si mamak yang tak faham bahasa dan bebal tetap menggoreng mee yang pedas. Menyalahkan takdir dan yang empunya kuasa apabila di uji.

Ayat “sudah biasa” sang suami juga menjadi iktibar untuk direnung. Bagi orang seperti saya yang memang tidak tahan dengan pedas, cili api di dalam masakan ibarat malapetaka. Namun ada orang yang sengaja mengunyah cili api untuk menambah kesedapan pada makanan. Tak sedap kalau tak pedas katanya. Persis kehidupan orang-orang yang kini berada di puncak kejayaan dimana mereka ini sentiasa mengunyah ujian dan dan cabaran dalam mencapai kedudukan mereka hari ini.Alah bisa tegal biasa.

Saya ke kaunter untuk membayar makanan.

Mengeluarkan wang dari poket belakang seluar saya saya memberitahunya bahawa mee gorengnya sedap tapi pedas ada cili api.

“Itu cili kasi rasa sikit. Itu pasal letak kasturi(limau). Kalau pedas sangat kasi picit itu limau. Pedas hilang,” jawab si mamak.

Baru saya tahu rahsia kenapa ada hirisan limau di dalam pinggan mee goreng mamak. Benarlah, hanya pencipta yang benar-benar tahu rahsia di sebalik segala penciptaannya. Tahu kenapa dan sekuat mana hambanya mampu dan tahan diuji. Firmannya dalam surah Al-Baqarah ayat 286,

“Tidak aku bebankan ke atas kamu sesuatu yang kamu tidak akan mampu.”

Hai lah mamak. Kau bukan tuhan, tapi sesekali kau mengajar aku untuk mengenal tuhan.

Cikgu Asmadi Abdul Samad
Pengarah KRIM Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *