Masjid Solatiah Sambut Baik Usaha ISMA Ipoh Anjur Program Iktikaf Perdana

IPOH, 6 Jun – “Pihak masjid amat menghargai dan mengharapkan keterlibatan ISMA cawangan Ipoh lagi pada masa akan datang, dalam usaha mengimarahkan masjid ini dengan program-program islamik seperti program Iktikaf Perdana ini. Masjid yang besar dan cantik tidak bermakna jika tidak diisi dengan roh program-program sebegini”. Begitu ujar Pengerusi Masjid Solatiah, Dato’ Yaacob Bin Nordin dalam ucapan beliau sewaktu majlis penutup program Iktikaf Perdana anjuran ISMA cawangan Ipoh dengan kerjasama pihak masjid pada hari Ahad yang lalu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Di Pertua ISMA cawangan Ipoh sendiri, Sahibus Samahah Ustaz Zamri bin Hashim, yang juga merupakan Timbalan Mufti Negeri Perak.

Beliau dalam ucapannya berkata, “Para peserta diharapkan agar dapat meneruskan momentum amalan beriktikaf di masjid, dan tidak terhenti pada program ini sahaja. Malah jika diberi peluang untuk menjadi imam atau bilal, maka rebutlah peluang keemasan ini untuk menambah nilai diri kepada masyarakat setempat.”

Program selama tiga hari dua malam ini telah berlangsung dengan baik dan diisi dengan aktiviti-aktiviti seperti bacaan tahlil, iftar jamaie, solat terawih, tadarus Al-Quran, qiamullail, kuiz dan juga “street dakwah”.

Program Iktikaf Perdana pada tahun ini merupakan kerjasama kali kedua yang dijalankan oleh ISMA cawangan Ipoh dan Masjid Solatiah. Tajaan berbuka dan sahur kepada para peserta juga telah disediakan secara penuh oleh pihak Masjid Solatiah sendiri.

 

Sebahagian daripada para peserta program Iktikaf Perdana anjuran ISMA Cawangan Ipoh dan Masjid Solatiah

 

Aktiviti “street dakwah” – Kempen Quran Sana Sini

 

 

 

Oleh: Mohd Zukhi bin Abdullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *