Masyarakat harus sedar percaturan musuh ke atas umat Islam

oleh Norlia bt Salleh

Kota Samarahan, 13 Feb – “Apa yang berlaku (penghancuran) terhadap umat Islam seluruh dunia tidak dapat dinafikan mempunyai kaitan dengan percaturan gerakan Freemason dan Illuminati Yahudi. Umat Islam di setiap pelusuk dunia ditindas dan ditekan. Walaupun begitu, sedihnya, hanya sedikit daripada manusia yang memahami akan agenda ini.” Demikian kata Ustaz Haji Omar Kassim, Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam ucapan perasmiannya pada Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan (MATC) Ke-4 ISMA Samarahan baru-baru ini.

“Apa yang berlaku di Muslim Uighur di China, mereka dipaksa makan khinzir semasa sambutan tahun baru cina baru-baru ini. Ini amat menyedihkan. Sebagai seorang Muslim kita harus ada rasa cakna dan ingin bantu mereka.” Tambahnya lagi.

Beliau yang hadir mewakili Jawatan Kuasa Pusat ISMA menyeru kepada semua hadirin agar cakna akan isu-isu umat Islam dan percaturan politik semasa. Hal ini bukanlah untuk menjadikan kita sebagai seorang yang taksub kepada mana-mana parti politik, tetapi adalah untuk memastikan kepentingan umat Islam sentiasa terpelihara.

Tegasnya lagi, sebagai seorang yang sedar dan inginkan syariat Islam tertegak di Malaysia, kita perlu terlibat secara langsung dalam politik negara. Hal ini kerana, pemimpin semasa kebanyakkannya bergerak di bawah telunjuk liberal dan sekular dan agenda mereka hanya satu, iaitu untuk merungkaikan sistem Islam bernegara.

Sebagai seorang yang sedar akan percaturan ini, kita tidak dapat menafikan bahawa untuk terlibat dalam kepimpinan sama ada organisasi atau negara adalah satu kemestian. Andai ada satu doa yang kita hendak pohon, pohonlah agar kita direzekikan untuk mempunyai pemimpin yang menitikberatkan tentang Islam dan direzekikan juga mempunyai pemimpin yang diberikan hidayah oleh Allah. Moga dengan itu, kalimah Allah akan tertegak dibumi-Nya.

Turut hadir pada acara tersebut adalah Ustaz Dr Mohd Khairol bin Jambli, YDP ISMA Kuching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *