Maulidur Rasul: Peranan kita dalam menghayatinya


image

Alhamdulillah. Syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana kita telah berada di dalam bulan Rabi’ul Awal 1437H. Kebiasaannya, umat Islam meraikan Maulidur Rasul sempena kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada bulan ini.

Maulidur Rasul bertujuan agar setiap peribadi Muslim lebih mengetahui sejarah hidup Nabi Muhammad SAW seterusnya menimbulkan bibit-bibit kecintaan kepada baginda yang diangkat menjadi nabi dan rasul terakhir kepada umat manusia. Ianya agar kita umat Islam disegarkan kembali dengan sejarah perjuangan baginda SAW. Sejarah dalam pengertian bukan untuk dijadikan nostalgia dan kenangan tetapi untuk dijadikan pedoman dan iktibar agar dapat mengembalikan ‘izzah Islam sepertimana terkenalnya bangsa Arab setelah kedatangan Rasulullah SAW dan masyhurnya bangsa-bangsa yang lain setelah menerima kedatangan Islam termasuk bangsa Melayu di Malaysia. Yang benar adalah kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa menyintai baginda SAW setiap masa dan ketika.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik bagi umat manusia. Maka usahlah lagi kita mencari mereka yang lain untuk mulia. Jangan sekali-kali terikut dengan mereka yang tiada pegangan aqidah dan meremehkan syariat. Yakinlah bahawa hidup mulia hanya dengan kembali mengikut ajaran yang ditunjukkan oleh baginda SAW.

image

Setiap ketika musuh umat Islam berada di setiap penjuru kita. Lihat sahaja di rumah dengan siaran televisyen yang memaparkan tubuh wanita yang terbuka luas auratnya, iklan di media massa dan akhbar atau majalah yang dipenuhi dengan gambar-gambar lelaki dan perempuan bukan mahram yang berpegang sana-sini tanpa segan silu dan tiada malu sedangkan pelaku-pelaku tersebut ialah orang Islam yang mengaku cinta pada Allah dan RasulNya. Demi meraih kehidupan cemerlang dunia dan akhirat, ayuh kita menambah ilmu dan pengetahuan tentang riwayat baginda SAW yang bermati-matian memperjuangkan Islam supaya kita mampu mengasihinya dengan sepenuh hati.

image

Akhirnya marilah kita menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini sebagai pengukuhan imej umat Islam untuk lebih berdaya saing dengan melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar serta mengambil sifat yang ada pada Rasulullah SAW seperti siddiq (benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fathonah (bijaksana). Di samping itu, jangan dilupakan saudara-saudara kita yang ditimpa musibah samada di dalam ataupun luar negara seperti mereka yang dilanda peperangan dan konflik yang berterusan di Palestin, Syria, Mesir dan lain-lain lagi. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan mengampunkan segala dosa kita serta memasukkan kita ke dalam syurgaNya dan mudah-mudahan kita dapat berjumpa junjungan mulia kita Nabi Muhammmad SAW serta mendapat syafaatnya dia akhirat kelak Insya Allah.

“Salam Maulidur Rasul”

Oleh: Media KRIM Kota Bharu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *