Media luar puji penganjuran Festival NAZIM

Shah Alam, 31 Mei – “Saya teruja melihat Kelab NAZIM ini mencungkil bakat-bakat dan potensi di kalangan kanak-kanak seawal usia 7 tahun”, ujar Cik Fatini Daud, wartawan dari majalah ASUH yang hadir untuk membuat liputan di Festival NAZIM Kebangsaan yang diadakan di Sekolah Sukan Seksyen 11 Shah Alam.

Beliau yang pertama kali hadir ke program NAZIM ini berasa gembira dan teruja melihat kanak-kank ini sedari kecil telah dilatih untuk menghafal Al-Quran dan berpidato.

Beliau berharap agar program yang dilakukan oleh Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dapat diteruskan dan dikembangkan lagi pada masa depan.

Di samping itu, pengunjung yang hadir turut memberikan respons positif terhadap program yang dijalankan.

Arifuddin bin Abdullah, 22 tahun, seorang penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menyatakan bahawa kanak-kanak suka akan hiburan dan cara yang digunakan dalam program NAZIM ini sangat bagus untuk pembangunan rohani dalam melahirkan individu mantap.

“Program sebegini patut diadakan untuk kanak-kanak supaya kita boleh melihat sisi akademik dan bakat kanak-kanak ini disamping boleh menjadi platform penonjolkan bakat kanak-kanak tersebut” katanya lagi.

Dia juga menyarankan agar program-program sebegini lebih kerap diadakan bukan sahaja oleh badan kerajaan tetapi mana-mana organisasi yang berkaitan.

Puan Ramzalinda Abdul Rahman, yang merupakan salah seorang pengunjung di program ini juga menyatakan perasaan seronoknya terhadap program ini.

“Sangat seronok apabila dapat balik dan menyertai acara seperti ini”, luah Puan Ramzalinda yang sebelum ini menetap di Australia bersama suaminya, Dr. Zaki Ibrahim.

Puan Ramzalinda yang merupakan ibu kepada salah seorang peserta nasyid turut merasakan program sebegini merupakan satu pendedahan yang baik bagi kanak-kanak di samping menjadi platform menonjolkan bakat mereka.

Oleh: Mohd Haziqq bin Mohd Isa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *