Memupuk budaya membaca sedari kecil

buku

Keputusan Kementerian Pendidikan baru-baru ini untuk mengekalkan novel Pantai Kasih dalam pengajaran dan pembelajaran murid Tingkatan 4 bagi negeri-negeri Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu amat menyedihkan.

Sepatutnya masalah sosial yang kian melarat di negara kita diambil menjadi iktibar kepada semua para pendidik agar memainkan peranan masing-masing, khususnya di dalam bidang pendidikan. Namun, pelbagai alasan diberikan oleh pihak berwajib di atas nama ‘seni’ dan ‘sastera’. Keadaan ini selayaknya disandarkan kepada peribahasa “Harapkan pegar, pegar makan padi.”

Sebagai seorang professional dan juga sebagai seorang pendidik kepada anak-anak, saya masih berpegang kepada buku-buku sebagai medium utama bagi proses pembelajaran dan pengkajian ilmu walaupun kita disajikan dengan lambakan maklumat di alam maya.

Budaya membaca harus dipupuk sedari kecil. Sewaktu saya berkhidmat di Australia, di antara perkara yang menarik perhatian adalah minat dan budaya membaca yang berleluasa di kalangan masyarakat. Budaya ini memang dididik sejak bayi lagi. Pengalaman membawa anak ke Maternal and Child Health Centre sewaktu anak mencecah usia 2 bulan benar-benar mengkagumkan. Selepas memeriksa bayi, jururawat memberikan saya senaskah buku – baby book, yang diterbitkan oleh kerajaan Australia sendiri. Buku tersebut dipenuhi dengan gambar berwarna hitam-putih. Jururawat itu berpesan supaya ‘membacakan’ buku tersebut kepada bayi saya setiap hari. Oleh sebab bayi kecil hanya boleh membezakan warna hitam dan putuh sahaja, maka buku tersebut sedemikian. Terdetik di hati saya bahawa masyarakat ini sungguh menitikberatkan pendidikan dan ilmu.

Jika dilawati kedai-kedai buku dan perpustakaan awam di sana pula, terlalu banyak buku kanak-kanak yang boleh dibeli atau dipinjam seawal usia 6 bulan. Ibubapa menjadikan cuti hujung minggu sebagai masa untuk bersama anak-anak di perpustakaan.

Suasana ini mungkin berbeza di negara kita. Berapa ramai di kalangan ibubapa yang membelikan buku untuk anak-anak sejak mereka bayi lagi? Berapa ramai yang membawa anak-anak ke perpustakaan dan mendaftarkan anak-anak sebagai ahli?

Sebenarnya budaya membaca sangat berkait rapat dengan keinginan atau semangat untuk menimba ilmu. Jika kanak-kanak dididik suka membaca, mereka akan dengan sendirinya suka belajar di sekolah dan rajin membuat kerja-kerja sekolah. Tidak akan timbul isu anak tidak minat belajar. Jika anak tidak minat belajar, ia satu petanda budaya membaca tidak diterapkan para ibubapa semasa mereka kecil.

Memang benar kata pepatah Melayu, ‘membaca jambatan ilmu’.

Saya juga menggesa ibubapa untuk menghidangkan bahan bacaan yang baik kepada anak-anak, bukannya novel-novel cinta dan komik yang tiada nilai. Kita harus ingat, tujuan utama membaca adalah untuk menimba ilmu, bukannya berhibur semata-mata.

Jika kita perhatikan buku-buku yang menduduki tangga teratas di dalam pembacaan para remaja, semuanya berunsur cinta dan hubungan berlainan jantina, ‘shopping’ , konflik persahabatan dan sebagainya. Segelintir pembaca juga berminat kepada unsur-unsur pelik dan kejadian-kejadian ajaib. Terlalu kurang kanak-kanak atau remaja yang ingin membaca tentang sejarah, geografi dunia, alam sekitar mahupun masyarakat antarabangsa.

Mereka menganggap tajuk tajuk ini ‘berat’. Sebenarnya kita yang ‘memberatkan’ dan ‘melemahkan’ potensi diri sendiri yang diciptakan hebat. Kita redha dilalaikan dan dihanyutkan dengan budaya hedonisme melampau. Pemikiran seumpama ini harus dibetulkan.

Suatu masa dahulu, khazanah ilmu adalah milik empayar Islam. Sewaktu serangan kota Baghdad oleh tentera Monggol umpamanya, buku-buku dicampakkan di sungai-sungai dan dijadikan jambatan untuk kuda-kuda perang. Jumlah khazanah ini terlalu banyak sehingga hitamnya air sungai disebabkan dakwat dari buku-buku tersebut. Inilah contoh terbaik para ilmuan Islam yang mencintai ilmu dan melakukan banyak penemuan-penemuan sains yang diguna pakai sehingga ke hari ini.

Umat Islam pada hari ini perlu kembali membaca dan mencintai ilmu. Tolaklah keseronokan melampau dan hiburan yang dihidangkan kepada kita di kaca televisyen atau bahan bertulis. Tiada manfaatnya melainkan mengikuti hawa nafsu semata-mata.

Kembalilah menghayati nilai yang diterapkan sejak wahyu pertama di Gua Hira’, tuntutlah ilmu dan carilah semula mutiara-mutiara yang hilang dari umat ini.

Dr Nur Farrah Nadia bt Najib
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat,
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Johor Bahru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *