Menegakkan Syiar Islam dalam Sambutan Aidil Adha di Bumi Australia

VICTORIA, 12 Zulhijjah 1438 – Buat julung kalinya, Isma Australia cawangan Victoria telah berjaya melangsungkan majlis sambutan Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1438 Hijrah di Kampung Barat Victoria. Ahli-ahli Isma Australia bersama-sama dengan komuniti Kampung Barat Victoria telah menjayakan program ini yang bermula pada jam 12 tengah hari sehingga lewat petang.

Keunikan sambutan tahun ini mampu dilihat apabila sambutan keraian ini dihadiri oleh penduduk Melayu dan Arab tempatan yang telah kian lama menetap di Australia. Berbeza dengan sambutan tahun-tahun yang lepas, kemeriahan tahun ini dapat dilihat daripada jumlah anggota masyarakat yang turut hadir sepanjang majlis semalam. Selain dijalankan sebagai satu majlis sambutan hari raya, Saudara Zulhairi Mamat, Mantan Ketua cawangan Victoria 15/16 turut mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan pengisian buat para hadirin seusainya solat Zuhur.

Dalam perkongsiannya, Zulhairi Mamat ada memetik kata-kata dalam buku al-Munthalaq (Langkah Bermula) karangan Muhammad Ahmad ar-Rasyid; “Menjadi fitrah kehidupan bahawa manusia akan sentiasa akan ditarik dengan dua tarikan, iaitu tarikan keimanan dan tarikan syaitan. Sebagai insan dan ibu bapa yang bijak, kita seharusnya menghindarkan diri serta keluarga daripada terjerumus dalam kehinaan tarikan syaitan dengan meletakkan diri dan keluarga kita semua dalam tarikan keimanan setiap masa. Bagaimana? Jawapannya adalah dengan melalui jalan tarbiah.”

Selain daripada pengisian dan perkongsian ringkas, majlis turut diberkati lagi dengan solat hajat yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Isma Australia 16/17, Amiruddin Aziz, yang turut tidak melupakan untuk mendoakan saudara seakidah kita yang sedang berjuang demi meneruskan kehidupan di Rohingya, Palestin dan Syria.

Sambutan Hari Raya Aidil Adha Isma Australia cawangan Victoria yang telah dihadiri oleh hampir 30 orang lelaki dan wanita serta lebih 30 orang penduduk tempatan berjaya menunjukkan bahawa gerak kerja dakwah dan tarbiah yang dibawa oleh ahli Isma Australia terutamanya di Melbourne telah berjaya menyusup masuk ke dalam masyarakat tempatan. Semoga dengan usaha kecil ini mampu menjadi batu loncatan kepada semua untuk mengorak langkah dengan lebih jauh dalam perjalanan dakwah dan tarbiah ini.

Taqabbalallahu minna wa minkum. Semoga Allah menerima amal daripada kami dan amal daripada semua.

Salam Aidil Adha 1438 Hijrah.

Nik Faris Haikal
Ahli Biro Komunikasi dan Multimedia Isma Australia

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *