Menyambung bidang kepakaran adalah tanggungjawab, bukan satu beban

Oleh Norbaiyah Mohamed Bakrim

KUANTAN, 7 Mac – Menyambung pengajian di bidang kepakaran perlu dilaksanakan atas dasar tanggungjawab bukan sebagai satu beban kerana kita perlu mencapai tahap terbaik di dalam kerjaya untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

Demikian menurut Prof. Dr Azizi Ayob, Setiausaha Agung Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Cita-Cita di Persimpangan’ di Seminar Hala Tuju Kerjaya anjuran Unit Medical Officer (MO) – House Officer (HO) Sharing Session (MOHSEN), I-Medik Pahang bertempat di De Rhu Beach Resort, Kuantan baru-baru ini.

Prof. Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Naib Presiden II I-Medik pula ketika menyampaikan ceramah beliau bertajuk ‘Bidang Kepakaran Pre-Klinikal; Peluang dan Cabaran’ menerangkan bahawa antara kelebihan menyambung pengajian di bidang pra-klinikal adalah kepuasan dalam mendidik bakal-bakal doktor mengenai bidang penyelidikan di bidang perubatan.

“Dengan itu, secara tidak langsung kita dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dengan hasil-hasil penyelidikan yang kita temui,” jelas beliau yang juga merupakan Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sementara itu, Dr Nujaimin Udin, Pakar Perunding Bedah Saraf Hospital Sulatanah Nur Zahirah Kuala Terengganu menyarankan supaya setiap pegawai perubatan melakukan ujian Aptitud Perubatan untuk melihat kecenderungan bidang kepakaran yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing.

“Selain minat, personaliti seseorang juga memainkan peranan penting dalam memastikan seseorang pegawai perubatan mampu cemerlang di dalam bidang kepakaran yang diceburi,” terang beliau ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Bidang Kepakaran Klinikal; Peluang dan Cabaran’.

Dr Mohamad Nor Sundari, Timbalan Presiden I-Medik pula ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup menasihati para peserta agar menetapkan hala tuju dengan matlamat yang jelas untuk menjadikan kerjaya sebagai saham akhirat serta segera memanfaatkan peluang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan tamadun perubatan Islam.

Seminar yang dihadiri oleh para peserta di kalangan pegawai perubatan ahli I-Medik sekitar Kuantan, Temerloh, Jerantut dan Kemaman ini berobjektifkan untuk memberi panduan dan pendedahan kepada peserta tentang pilihan, cabaran dan peluang hala tuju kerjaya di bidang kepakaran bagi pegawai perubatan serta perkongsian persediaan yang diperlukan untuk menjalani latihan kepakaran di peringkat sarjana.

Selain daripada itu, seminar ini dapat memberi inspirasi dan panduan kepada pegawai perubatan yang hadir dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka sebagai seorang doktor pakar pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *