Menyambung silaturrahim lebih sukar daripada membalas jasa

Oleh Habsah Abdul Shaer

PORT DICKSON, 23 Jan – “Menyambung silaturrahim bermaksud menyambung semula tali persaudaraan yang telah terputus dan ianya lebih susah dilaksanakan berbanding membalas jasa,” kata ustazah Hayati ketika menyampaikan tazkirah dalam usrah wanita Isma Port Dickson yang diadakan sebulan sekali.

Menurut ustazah Hayati lagi, untuk membalas jasa, kita tidak perlu menundukkan keegoaan. Tetapi untuk menyambung semula tali silaturrahim yang telah terputus, kita perlu membuang ego untuk sedia memaafkan orang lain atau memulakan permohonan maaf.

Ustazah Hayati turut menjelaskan bahawa memutuskan silaturrahim merupakan dosa besar dan Allah memberikan ancaman kepada pelakunya dengan pelbagai siksaan dan hukuman baik di dunia atau di akhirat sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Sesungguhnya silaturrahim juga adalah makhluk Allah yang bergantung di arash dan dia berkata, “Barangsiapa yang menyambung hubungan ku, nescaya Allah menyambung hubungan dengannya dan barangsiapa memutuskannya, nescaya Allah akan memutuskan hubungan dengannya.”

“Hati orang yang memutuskan silaturrahim akan menjadi keras dan terhalang dari mendapat kebaikan. Kehidupannya akan berubah dari senang menjadi susah. Segala kebaikan yang dia pernah buat juga tidak lagi dipandang masyarakat. Mereka merupakan perosak di atas muka bumi ini dan adanya mereka menyebabkan doa terhalang dari sampai kepada Allah swt,” jelas ustazah hayati tentang kesan buruk manusia yang memutuskan silaturrahim.

Diakhir ceramahnya, ustazah Hayati berpesan kepada hadirin yang hadir agar tidak memutuskan silaturrahim sesama Islam kerana  itu adalah tanda kita beriman dan rahmat Allah tidak akan turun kepada suatu kaum atau kumpulan sekiranya ada di antara ahli-ahlinya yang memutuskan silaturrahim. Orang yang memutuskan silaturrahim akan kerugian di akhirat nanti kerana Allah tidak izinkan untuk orang sebut kebaikan yang dia pernah buat ketika di dunia.

Turut hadir pada program tersebut adalah Puan Kamaliah Abdul Hamid, Ketua Wanita Isma Cawangan Port Dickson.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *